Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki didenda $3,000 jual ikan laga dari flat Ang Mo Kio, pelihara reptilia

Apabila pegawai Lembaga Taman Negara (NParks) menerima maklumat bahawa ada seseorang yang menjual ikan laga menerusi wadah Telegram, mereka berkunjung ke rumah Muhammad Irfan Khairudin lalu menemui dua ekor haiwan reptilia jenis 'bearded dragon' yang disimpan secara haram di flatnya di Ang Mo Kio.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Apabila pegawai Lembaga Taman Negara (NParks) menerima maklumat bahawa ada seseorang yang menjual ikan laga menerusi wadah Telegram, mereka berkunjung ke rumah Muhammad Irfan Khairudin lalu menemui dua ekor haiwan reptilia jenis 'bearded dragon' yang disimpan secara haram di flatnya di Ang Mo Kio.

Irfan, 28 tahun didenda S$3,000 di mahkamah pada Rabu (17 Mac) atas satu tuduhan menggunakan rumahnya sebagai kedai haiwan peliharaan untuk menjual 10 ekor ikan laga, juga dikenali sebagai betta, dan dua tuduhan sengaja menyimpan haiwan liar tanpa mendapatkan permit.

Mahkamah diberitahu bahawa Irfan membuka sebuah akaun Telegram bernama "Ayam Betta" pada permulaan tahun 2019. Dia meletak iklan menjual ikan laga dan menjual ikan pertamanya pada harga S$20 tidak lama selepas itu.

Sejak itu, dia menjual 10 ekor ikan dari rumahnya melalui wadah Telegram meskipun tidak mempunyai lesen yang sah untuk mengendalikan kedai menjual haiwan peliharaan.

Pada April 2020, NParks menerima maklum balas bahawa ada orang yang menjual ikan laga menerusi Telegram. Mereka mengunjungi rumah Irfan di Ang Mo Kio pada Julai 2020 dan menemui dua ekor haiwan reptilia "Central Bearded Dragons" yang disimpan dalam tangki berasingan di flat berkenaan.

Irfan tidak mempunyai permit yang diperlukan untuk memelihara haiwan tersebut.

Pihak pendakwa memohon denda sebanyak $3,000 sambil berkata bahawa tuduhan menyimpan haiwan liar secara sengaja merupakan kesalahan baru.

'Central Bearded Dragons', adalah sejenis cicak, berasal dari Australia dan reptilia yang terdapat di Singapura lazimnya diseludup masuk dari Johor Bahru, kata pihak pendakwa.

Ia bukan haiwan asli Singapura dan boleh menimbulkan ancaman jika lolos. Beliau menambah bahawa penjualan haiwan peliharaan merupakan perdagangan terkawal di Singapura dan langkah-langkah perlu diambil bagi memastikan ia tidak dibiak dalam keadaan tidak bersih.

Irfan tidak membuat sebarang rayuan, namun dia dibenarkan membayar S$1,000 dahulu dan membayar baki denda pada hujung bulan depan.

Bagi kesalahan menggunakan rumahnya sebagai kedai haiwan peliharaan untuk menjual ikan, dia boleh dikenakan denda sehingga S$5,000. Bagi kesalahan sengaja menyimpan haiwan liar, dia boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan