Images
  • sg vaccine
    Seorang individu mendapatkan dos vaksin COVID-19 di Pusat Masyarakat Tanjong Pagar pada 27 Jan 2021. (Gambar: Jeremy Long)

Lelaki didakwa palsukan memo doktor tentang status vaksin COVID-19

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 30 tahun akan didakwa di mahkamah hari ini (15 Sep) kerana didakwa memalsukan memorandum seorang doktor bagi status vaksinasi COVID-19.

Polis menyatakan dalam satu kenyataan media semalam (14 Sep) bahawa lelaki itu dipercayai menunjukkan sebuah memo palsu supaya dia dapat makan di sebuah kedai makanan dan minuman di Orchard Road pada 1 September.

Seorang kakitangan di kedai itu membuat pemeriksaan ke atas memorandum tersebut dan mengesyaki bahawa ia mungkin dipalsukan.

"Kakitangan itu kemudian meminta lelaki berkenaan supaya meninggalkan tempat itu dan dia mematuhi arahannya," menurut polis sambil menambah bahawa perkara itu kemudian dilaporkan kepada mereka.

Lelaki tersebut, yang dikenal pasti oleh para pegawai Divisyen Polis Tanglin menerusi siasatan lanjut, diberkas semalam.

Jika didapati bersalah atas kesalahan memalsukan (memorandum), dia boleh dihukum penjara sehingga empat tahun, didenda, atau kedua-duanya sekali.

- CNA/HA/ha

Top