Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki didakwa lontar air batu, pelitup ke arah duta jarak selamat, pegawai MOH

Seorang lelaki yang didekati oleh seorang duta jarak selamat dan seorang pegawai Kementerian Kesihatan (MOH) kerana tidak memakai pelitup didakwa menggunakan kata-kata kesat sebelum melemparkan air batu dan pelitup yang baru dibeli ke arah mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki didakwa lontar air batu, pelitup ke arah duta jarak selamat, pegawai MOH

Gambar hiasan. (Gambar: Jeremy Long)

Diterbitkan : 17 Jun 2020 05:26PM Dikemas Kini : 17 Jun 2020 05:36PM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang didekati oleh seorang duta jarak selamat dan seorang pegawai Kementerian Kesihatan (MOH) kerana tidak memakai pelitup didakwa menggunakan kata-kata kesat sebelum melemparkan air batu dan pelitup yang baru dibeli ke arah mereka.

Muhammad Adimin Kemton, 30, dikenakan lima tuduhan pada Rabu (17 Jun), termasuk menggunakan kata-kata kesat terhadap para petugas itu, menggunakan kekerasan terhadap mereka dan gagal memakai pelitup ketika berada di luar rumahnya.

Polis dalam satu kenyataan menyatakan bahawa Adimin didekati oleh kedua-dua pegawai itu di Jalan Upper Boon Keng pada 26 April kerana tidak memakai pelitup.

Menurut dokumen mahkamah, Adimin telah mencaci pegawai penguat kuasa MOH dalam dialek Hokkien dan turut memaki hamun duta jarak selamat itu.

Dia kemudian didakwa sengaja menggunakan kekerasan terhadap duta itu dengan melemparkan air batu ke arahnya. Dia juga dituduh melemparkan pelitup-pelitup pakai buang yang tidak digunakan ke arah para pegawai MOH itu.

Tertuduh akan kembali ke mahkamah untuk mengaku bersalah pada 13 Julai.

Jika didapati bersalah menggunakan kekerasan terhadap seorang kakitangan awam untuk menghalangnya daripada menjalankan tugas, Adimin boleh dipenjara hingga empat tahun, didenda atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan menggunakan kekerasan terhadap duta itu, dia boleh dipenjara hingga tiga bulan, didenda hingga S$1,500, atau kedua-duanya.

Kerana menggunakan kata kesat terhadap kakitangan awam, dia boleh dipenjara hingga setahun, didenda hingga S$5,000, atau kedua-duanya.

Hukuman kerana menggunakan kata-kata kesat terhadap duta jarak selamat dengan niat untuk menimbulkan rasa cemas adalah penjara hingga enam bulan, denda hingga S$5,000, atau kedua-duanya.

Bagi kesalahan tidak memakai pelitup ketika berada di luar rumahnya, dia boleh dipenjara hingga enam bulan, didenda hingga S$10,000, atau kedua-duanya.

Polis mengatakan pihaknya "memandang serius kelakuan kasar dan tidak bertanggungjawab berkaitan dengan ketidakpatuhan langkah-langkah jarak selamat".

Mereka juga menggalakkan masyarakat untuk bekerjasama dan mematuhi para pegawai penguat kuasa dan duta jarak selamat, kerana mereka "menjalankan tugas penting untuk menjaga keselamatan masyarakat".


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan