Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki dibicarakan atas dakwaan menyerang teman adiknya secara seksual

Seorang lelaki sedang dibicarakan kerana melakukan serangan seksual ke atas teman adik perempuannya, yang bermalam di rumah mereka selepas pergi ke sebuah bar pada Hari Krismas empat tahun lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki dibicarakan atas dakwaan menyerang teman adiknya secara seksual

(Gambar: Facebook/Norvan Tan)

Diterbitkan : 29 Sep 2020 05:13PM Dikemas Kini : 29 Sep 2020 05:22PM

SINGAPURA: Seorang lelaki sedang dibicarakan kerana melakukan serangan seksual ke atas teman adik perempuannya, yang bermalam di rumah mereka selepas pergi ke sebuah bar pada Hari Krismas empat tahun lalu.

Norvan Tan En Jie, 24, tidak mengaku bersalah pada Selasa (29 Sep) atas dua dakwaan serangan seksual dan dua dakwaan mencabul kehormatan.

Tan ialah pengasas bersama perniagaan daging bakar, Beef Bro, yang mempunyai tiga cawangan di Singapura.

Kejadian itu dipercayai berlaku pada 26 Disember 2016, di flat keluarga Tan. Pada waktu itu, Tan berusia 21 tahun manakala mangsa, yang identitinya dilindungi atas perintah mahkamah, berusia 19 tahun.

Menurut pihak pendakwa mangsa pergi ke flat tersebut dengan adik Tan pada dini hari itu untuk tidur di sana.

Mangsa pada waktu itu dalam keadaan sangat mabuk sehingga adik perempuan Tan perlu memapahnya ke dapur ketika dia muntah dan menukar pakaiannya.

Pada masa yang sama, Tan juga baru pulang dari minum arak bersama dua orang temannya. Sementara adiknya bercakap dengan temannya, Tan pergi ke tandas dan membawa mangsa keluar ke ruang tamu di mana dia menciumnya.

Dia kemudian membawanya ke tempat tidur adiknya dan menyerangnya secara seksual, menurut pendakwa. Apabila mangsa merasa mual lagi, beliau bergegas ke tandas untuk muntah, di mana dia merasakan seseorang menyerangnya secara seksual.

Mangsa mengalami trauma selepas kejadian, dan memberitahu rakan-rakannya bahawa beliau rasa keliru dan takut, dan berkongsi dengan mereka bahawa beliau percaya Tan telah menyerangnya secara seksual.

Beliau juga mengirim pesanan teks kepada adik Tan mengenai apa yang berlaku, dan adik Tan memberitahunya bahawa abangnya mengaku bahawa dia telah memasukkan jari ke bahagian sulit mangsa.

Mangsa kemudian membuat laporan polis dan Tan ditangkap dua hari selepas kejadian itu berlaku. Mahkamah diberitahu air mani Tan dikesan pada bahagian belakang baju mangsa, dan DNA mangsa dikesan pada pakaian dalam Tan.

Pihak pendakwa akan memanggil 27 saksi, termasuk seorang doktor yang ditemui Tan pada Mei 2017 yang mengatakan dia mempunyai masalah mati pucuk. Doktor itu tidak menemui sebarang bukti bagi masalah kesihatan itu, kata Timbalan Pendakwa Raya Ng Yiwen, Asoka Markandu dan Sheryl Yeo.

Seorang lagi doktor akan memberi keterangan bahawa keupayaan mangsa untuk memberikan persetujuan terhadap sebarang tindakan seksual pada masa itu "akan terjejas secara negatif kerana keadaannya yang mabuk".

Sekiranya disabitkan dengan kesalahan melakukan serangan seksual dengan penembusan, Tan boleh dipenjara hingga 20 tahun dan didenda atau disebat.

Dia berdepan hukuman penjara hingga dua tahun, denda, sebatan, atau gabungan hukuman-hukuman itu jika disabit kesalahan mencabul kehormatan.

Sumber : CNA/TODAY/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan