Images
  • everton park
    Polis menggunakan senjata renjat (taser) ke atas suspek lelaki lalu memberkasnya di Everton Park, 9 Jun 2019. (Gambar: Petikan video Facebook/Roads.SG)

Lelaki diberkas selepas 'menerpa' ke arah polis di Everton Park

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 25 tahun yang dirakam bertengkar dengan pegawai polis di Everton Park pada Ahad (9 Jun) diberkas kerana merosakkan harta benda awam dan beberapa kesalahan lain, kata polis pada Selasa (11 Jun).

Dalam satu video yang dikongsi di Facebook, lelaki itu kelihatan bertengkar dengan dua pegawai polis di taman tersebut. Tidak lama kemudian, beberapa pegawai lagi tiba di tempat kejadian lalu mengelilinginya.

Lelaki itu kelihatan menerpa ke arah salah seorang pegawai polis, yang bertindak mengeluarkan belantannya. Apabila diarahkan bertenang, lelaki itu kelihatan cuba untuk melepaskan diri sehingga seorang lagi anggota polis menggunakan senjata renjat (taser) ke atasnya lalu dia diberkas.

Polis menyatakan pihaknya menerima beberapa panggilan menerusi talian kecemasan 999 pada sekitar 4.45 petang mengenai seorang lelaki yang sedang merosakkan harta benda awam dan menyebabkan gangguan terhadap orang awam di Everton Park di kawasan Outram.

"Demi keselamatan para pegawai polis dan orang awam, salah seorang pegawai polis berjaya menggunakan senjata renjat terhadap lelaki itu supaya dia tidak boleh bergerak," menurut kenyataan polis.

"Lelaki itu kemudian diberkas kerana merosakkan harta benda, menyebabkan gangguan ketika dalam keadaan mabuk di tempat awam dan menggunakan jenayah kekerasan untuk menghambat kakitangan awam daripada menjalankan tugas."

Suspek lelaki itu diikat jamin semasa insiden itu dan sedang menunggu untuk dibicarakan atas tuduhan melakukan rompakan dan menyebabkan kecederaan, menurut polis.

Siasatan ke atas lelaki itu masih dijalankan.

- CNA/ZM/zm

Top