Images
  • mary
    (Gambar: Ili Nadhirah Mansor/TODAY)

Lelaki diberi amaran tegas ceroboh dan rosakkan patung di gereja

SINGAPURA: Seorang lelaki yang menceroboh masuk ke dalam sebuah gereja dan merosakkan patung Mother Mary diberi amaran tegas, dengan pihak pendakwa menarik balik semua tuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Race Koh Jun Xian, 38, dibebaskan dari tuduhan pada Isnin (11 Jan) kerana melakukan pencerobohan jenayah dan merosakkan tempat ibadat dengan niat menghina agama.

Koh telah memanjat pagar dan memasuki pekarangan Gereja Nativity of the Blessed Virgin Mary di Upper Serangoon Road pada 2 Nov, 5 Nov dan 12 Nov, tahun lalu.

Pada kali terakhir dia memasuki gereja itu pada 12 Nov, Koh menggunakan pelekat "Blu Tack", untuk menampal guli di bahagian mata patung Mother Mary itu.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, polis menyatakan pihaknya telah mengeluarkan amaran tegas kepada Koh bagi dua kesalahan, setelah berunding dengan Pejabat Peguam Negara (AGC).

Kedua-dua tuduhan itu ditarik balik di mahkamah pada Isnin, dan Koh juga diberi amaran kerana melakukan pencerobohan jenayah bagi dua lagi insiden berlainan.

Hukuman bagi melakukan pencerobohan jenayah adalah penjara sehingga tiga bulan, denda sehingga S$1,500, atau kedua-duanya. Hukuman bagi merosakkan tempat ibadat dengan niat menghina agama adalah penjara tidak lebih lima tahun, didenda, atau kedua-duanya.

- CNA/NA/na

Top