Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki derita skizofrenia dibicara, bunuh bapa 75 tahun

Apabila anggota paramedik tiba di sebuah flat di Bedok North pada 2015, mereka menemui Tan Ah Hin, 75 tahun, terkulai tak berdaya di lantai dengan degupan jantung yang lemah.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki derita skizofrenia dibicara, bunuh bapa 75 tahun

Gambar fail Mahkamah Tinggi Singapura. (Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 11 Aug 2020 09:28PM Dikemas Kini : 11 Aug 2020 09:33PM

SINGAPURA: Apabila anggota paramedik tiba di sebuah flat di Bedok North pada 2015, mereka menemui Tan Ah Hin, 75 tahun, terkulai tak berdaya di lantai dengan degupan jantung yang lemah.

Anaknya, Tan Kok Meng, berlumuran darah yang sudah kering, dan kemudian mencekik lelaki tua itu selama seminit dua minit disaksikan oleh paramedik yang tidak berdaya.

Lelaki tua itu kemudiannya meninggal dunia di hospital.

Tan Kok Meng, 46, mula dibicarakan di Mahkamah Tinggi pada Selasa (11 Ogos) kerana membunuh ayahnya. Dia menghadapi tuduhan membunuh, yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup.

Tan dituduh mencekik ayahnya dan menumbuk bertubi-tubi muka mangsa pada 13 Nov 2015.

Kedua-dua pihak pendakwa dan peguam bela Tan bersetuju bahawa dia mengalami gangguan skizofrenia ketika itu.

Untuk mensabitkan seseorang atas kesalahan jenayah, mahkamah harus membuktikan bahawa tertuduh mempunyai niat untuk melakukan jenayah itu dan mengambil tindakan fizikal yang menyebabkannya melakukan demikian.

Sekiranya Hakim Valerie Thean mendapati Tan telah menyebabkan kematian bapanya - seperti yang ditekankan pihak pendakwa - namun membebaskannya kerana dia tidak waras, pihak pendakwa akan memohon agar Tan diletakkan dalam tahanan yang selamat.

Keputusan itu masih menantikan arahan daripada seorang menteri pemerintah agar dia ditahan di sebuah institusi psikiatri, penjara atau tempat-tempat lain yang sesuai mengikut budi bicara Presiden di bawah Kanun Prosedur Jenayah.

Pihak pendakwa akan memanggil 48 saksi untuk membuktikan Tan telah mencekik dan menyerang ayahnya.

Ini termasuk paramedik di tempat kejadian semasa mangsa itu masih hidup serta saudara-mara dan jiran keluarga.

Dua pakar psikiatri forensik dari Institut Kesihatan Mental (IMH), yang memeriksa Tan dan mendiagnosnya dengan gangguan skizofrenia, juga akan memberi keterangan.

Dr Cheow Enquan, seorang perunding bersekutu di IMH, menulis dalam laporan psikiatri 2018 bahawa tertuduh juga berada dalam keadaan mabuk akut akibat dadah setelah mengambil methamphetamine, sejenis dadah terkawal.

Beliau juga akan memberi keterangan bahawa Tan mungkin mengalami "gejala psikiatri yang teruk dengan tingkah laku yang tidak teratur" akibat gangguan mentalnya, yang menjadi lebih teruk akibat penggunaan dadah.

BERKELAKUAN LUAR BIASA

Ketika melakukan kesalahan itu, Tan menganggur dan tinggal bersama ibu bapanya.

Apabila ibunya - yang hanya dikenal pasti sebagai Cik Toh - pulang ke rumah sekitar 5.15 petang pada 13 Nov 2015, beliau mendapati suaminya terbaring di atas lantai. Beliau sebelum itu meninggalkan suaminya bersendirian di flat mereka bersama Tan.

Tan sedang duduk di sofa dekat dengan bapanya dan tidak memberi reaksi apabila ditanya apa yang berlaku.

Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Daphne Lim memberitahu mahkamah bahawa Cik Toh akan memberi keterangan bahawa anaknya "tidak (berkelakuan) seperti biasa" pada hari itu.

DPP Lim berkata, Cik Toh juga akan memberi keterangan melihat suaminya "susah bernafas" dengan darah di bawah kepalanya, sebelum beliau pergi untuk meminta pertolongan.

Salah seorang daripada dua jiran yang datang melihat mangsa susah bernafas, sementara jiran yang lain melihat tangan dan kaki anak lelaki itu berlumuran darah yang sudah kering.

Cik Toh, menjerit kepada anaknya dan bertanya mengapa dia membunuh ayahnya, kata DPP Lim.

"Pada ketika itu, tertuduh berjalan ke arah mangsa, duduk di perutnya dan meletakkan tangannya di atas dada mendiang, tepat di bawah lehernya.

"Cik Toh kemudian menarik tertuduh menjauhi mangsa," tambah DPP Lim.

HUBUNGAN ANAK, BAPA TEGANG

Cik Zaneta Lee, salah seorang daripada tiga paramedik yang tiba tidak lama kemudian, memberi keterangan di mahkamah pada Selasa.

Cik Lee, yang merupakan seorang anggota medik bertauliah ketika itu dan kini adalah seorang pelajar kejururawatan, berkata bahawa beliau bertanya kepada Tan sama ada dia sihat, memandangkan dia kelihatan bingung.

Dia "merenung jauh" ke arah ayahnya, kata Cik Lee.

Ketika paramedik memeriksa mangsa, degupan jantungnya perlahan dan lemah, dan beliau membuat "bunyi seperti berdengkur".

Semasa paramedik cuba membantu mangsa, Tan tiba-tiba berdiri dan memberitahu paramedik dalam bahasa Mandarin dan dengan isyarat tangan supaya ketepi.

Dia terus mencekik ayahnya sambil berkata "Aku mahu dia mati" dalam bahasa Mandarin.

DPP Lim bertanya kepada Cik Lee mengapa beliau dan rakan setugasnya tidak menarik Tan ke tepi.

Cik Lee menjawab bahawa mereka tidak tahu sama ada tertuduh memiliki senjata atau apa yang boleh dia lakukan terhadap mereka.

Polis tiba tidak lama kemudian dan menangkap lelaki itu.

Tan memberitahu polis bahawa "hubungannya dengan mendiang tegang" dan dia telah memukul ayahnya hari itu.

Pada 21 Mac 2016, Tan disahkan tidak waras dan tidak mampu membela diri di mahkamah.

Dia dikurung di Kompleks Perubatan Changi, sebelum disahkan mampu membela diri tahun lalu.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan