Images
  • baucar
    (Gambar: Facebook/SPF)

Lelaki dan wanita didakwa curi baucar barangan dapur dari peti surat Tampines

SINGAPURA: Seorang lelaki dan wanita didakwa di mahkamah pada Jumaat (16 Okt) kerana mencuri baucar barangan dapur Belanjawan 2020 daripada peti surat sebuah blok perumahan di Tampines.

Miqhael Wahyudean Abdullah, 24, dan Irwani Nur Amira Azami, 23, dikenakan tuduhan mencuri dengan niat sama.

Mereka antara yang pertama didakwa selepas beberapa penangkapan oleh pihak polis berhubung kesalahan mencuri baucar barangan dapur dari peti-peti surat merata Singapura. Baucar barangan dapur itu diberikan kepada rakyat Singapura bagi membantu membiayai perbelanjaan keluarga sebagai sebahagian daripada Belanjawan tahun ini.

Miqhael dan Irwani dituduh mencuri baucar-baucer dari Blok 872A, Tampines Street 86, antara pukul 8.00 malam pada 6 Okt dengan 3.30 pagi pada 7 Okt.

Mereka diberkas pada 14 Okt.

Sekurang-kurangnya tiga lelaki dan dua wanita lain juga diberkas kerana dipercayai mencuri baucar barangan dapur Belanjawan 2020 dari peti surat HDB di beberapa lokasi berbeza di merata Singapura.

Siasatan mendedahkan bahawa kes-kes itu tidak mempunyai kaitan dan "bersifat mengambil kesempatan", kata polis.

Polis menyatakan bahawa pihaknya menerima laporan serupa daripada kawasan-kawasan perumahan lain.

"Kami sedang meningkatkan usaha kami dan para pelaku akan dibawa ke muka pengadilan," tambah polis.

"Jika anda melihat mana-mana individu mencurigakan berlegar-legar berdekatan peti surat, sila hubungi segera pihak polis di talian 999."

Pasangan yang didakwa itu akan kembali ke mahkamah pada 6 Nov. Jika didapati bersalah mencuri, mereka boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga tiga tahun, didenda, atau kedua-duanya.

- CNA/NA/na

Top