Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki cabul anak perempuan sejak usianya 9 tahun, rogol pada usia 15 tahun

Lelaki itu juga akan mendenda budak tersebut dengan menyuruhnya berdiri di luar rumah jika tidak mengikut arahan.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki cabul anak perempuan sejak usianya 9 tahun, rogol pada usia 15 tahun

Pintu masuk Mahkamah Agung di Singapura.

Diterbitkan : 22 Feb 2021 06:06PM Dikemas Kini : 22 Feb 2021 06:09PM

SINGAPURA: Selepas anak perempuannya kembali tinggal bersama keluarga setelah bertahun-tahun menetap di rumah ibu saudaranya, bapa budak itu mula mencabul kehormatan gadis tersebut setiap minggu.

Lelaki itu juga akan mendenda budak tersebut dengan menyuruhnya berdiri di luar rumah jika tidak mengikut arahan.

Semasa remaja itu berusia 15 tahun, lelaki itu merogolnya dan melakukan serangan seks setiap minggu, meskipun dia sedang haid.

Remaja itu menjadi takut dikunci di luar rumah maka dia terus mengikut sahaja kehendak bapanya.

Namun, akhirnya dia memberitahu rakan-rakannya tentang apa yang berlaku apabila mereka menyedari remaja itu sentiasa murung. Remaja itu menangis apabila bercakap tentang "gangguan" oleh bapanya.

Lelaki berusia 44 tahun itu hari ini (22 Feb) dijatuhi hukuman penjara 25 tahun dan 24 sebatan rotan. Dia mengaku bersalah atas tiga tuduhan merogol dengan lagi 24 tuduhan dipertimbangkan semasa hakim menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu lelaki itu, yang bekerja sebagai penghantar makananan, mempunyai empat anak, bersama isterinya. Pasangan itu tinggal di sebuah flat empat bilik dengan tiga anak lelaki mereka sementara mangsa, anak perempuan mereka, tinggal bersama seorang ibu saudara sehingga usianya sembilan tahun.

Budak itu kembali tinggal bersama keluarganya dalam bulan Jun 2013 semasa bersekolah di darjah 4 dan tidur sebilik dengan adik-beradik lelakinya.

Beberapa bulan kemudian, bapanya mula mencabul kehormatan budak tersebut. Dia berbuat demikian sekurang-kurangnya sekali seminggu selama lima tahun sehingga remaja itu berusia 14 tahun. Remaja itu berasa takut dan tidak selesa tetapi tidak bertindak kerana tidak tahu apa yang patut dilakukan.

Remaja itu kemudian lari dari rumah pada Mei 2018 setelah rasa tertekan dan terjejas akibat perbuatan bapanya dan bergaduh dengan ibunya. Remaja itu kembali ke rumah setelah satu aduan polis dibuat mengenai kehilangannya.

Selama beberapa bulan selepas itu, bapanya berhenti melakukan serangan seks tetapi kembali berbuat demikian pada Disember 2018. Apabila mangsa memberitahu bapanya bahawa dia berasa tidak selesa dengan perbuatan itu, lelaki tersebut mendendanya dengan menyuruh remaja berkenaan berdiri menghadap tembok selama sejam.

Lelaki itu kemudian memberitahu anaknya bahawa dia "tidak selesa berada dalam flat yang sama dengan remaja itu" dan mula menguncinya di luar flat setiap hari selama sebulan. Remaja itu dibenarkan masuk hanya apabila ibunya pulang kerja pada pukul 7.00 malam.

Apabila ditanya ibunya mengapa remaja itu berada di luar rumah, lelaki tersebut berkata dia mendenda anak mereka kerana tidak membuat kerja sekolah.

Mulai Januari 2019, semasa mangsa berusia 15 tahun, lelaki itu mula merogolnya. Mangsa berasa sakit dan takut tetapi tidak memberitahu sesiapa kerana takut didenda dan dikunci di luar rumah.

Antara bulan Mac 2019 dengan Jun 2019, lelaki itu merogol dan melakukan serangan seks ke atas remaja itu sekurang-kurangnya sekali sebulan.

Mangsa tidak berani memberitahu sesiapa tentang penderaan seks tersebut kerana bimbang akan memecah belahkan keluarganya.

Pada 31 Julai 2019, mangsa sengaja pulang lewat selepas sekolah kerana enggan berada di rumah bersama bapanya. Bagaimanapun, dia dimarahi ibunya kerana pulang lewat.

RAKAN SEKOLAH DAPAT TAHU

Pada 1 Ogos 2019, tiga rakan sekolah menengah mangsa menyedari remaja itu kelihatan murung. Mereka kerap bertanya apa yang berlaku.

Remaja tersebut, yang pada mulanya keberatan untuk bersuara, kemudian menangis dan berkata dia dimarahi ibu kerana pulang lewat tetapi berkata dia tidak mahu pulang kerana bapanya "selalu mengganggunya".

Keesokan harinya, rakan-rakan remaja itu bertanya sama ada dia bermaksud hilang dara apabila mengatakan bapanya "mengganggu". Sambil menjawab "ya", mangsa mula menangis. Rakan-rakannya memaklumkan perkara itu kepada guru kelas dan polis dihubungi.

Menurut laporan psikiatri, mangsa sebelum ini teringat-ingat tentang apa yang dilakukan bapanya ke atas dirinya tetapi sekarang sudah berkurangan.

Pemeriksaan ke atas bapanya menunjukkan bahawa dia cukup sihat untuk membuat pengakuan bersalah dan tiada bukti kukuh untuk menyarankan dia mengalami masalah mati pucuk.

Pihak pendakwa meminta lelaki itu dikenakan hukuman sekurang-kurangnya 26 tahun penjara dan 24 sebatan rotan, sambil berkata mangsa "sengsara selama bertahun-tahun".

"Apabila mangsa kembali tinggal bersama keluarganya sendiri pada usia sembilan tahun, tertuduh sepatutnya mewujudkan sekitaran kekeluargaan yang penuh kasih sayang dan selamat," tegas Timbalan Pendakwa Raya Stephanie Koh dan Lim Yu Hui.

"Sebaliknya, mangsa tanpa sedar memasuki kandang harimau, dengan serangan seks ke atasnya dilakukan hanya dua bulan selepas berpindah."

Mereka menambah tertuduh mengekploitasi kedudukannya, "memasuki bilik tidur mangsa pada sebelah malam untuk mencabulnya semasa tidur, dan kemudian mengambil kesempatan semasa bersendirian di rumah pada siang hari untuk merogolnya".

Bagi setiap kesalahan merogol, dia boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda atau dirotan. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan