Images
  • woodlands murder
    Teo Ghim Heng didakwa membunuh Choong Pei Shan dan empat anak perempuannya. (Gambar: TODAYonline)

Lelaki bunuh isteri hamil, anak perempuan 4 tahun rayu alami gangguan mental

SINGAPURA: Seorang lelaki yang mencekik isterinya yang sedang hamil sebelum membunuh anak perempuan mereka yang berusia empat tahun dengan cara yang sama mengemukakan rayuan pada Rabu (13 Okt) terhadap hukuman mati yang dijatuhkan ke atasnya.

Panel yang terdiri daripada lima orang hakim iaitu Hakim Besar Sundaresh Menon serta Hakim Judith Prakash, Steven Chong, Belinda Ang dan Chao Hick Tin, memutuskan untuk menangguhkan keputusan mereka dan akan mengeluarkannya pada tarikh lain.

Teo Ghim Heng, 46 tahun, dijatuhi hukuman mati pada November 2020 kerana membunuh isterinya Cik Choong Pei Shan, yang hamil enam bulan, dan anak perempuan mereka di flat mereka yang terletak di Woodlands.

Dia mencekik leher isterinya berusia 39 tahun, dengan menggunakan tuala pada Januari 2017 selepas bertengkar dengannya mengenai isu kewangan. Mangsa dipercayai menghinanya dengan memanggilnya seorang ayah yang "tidak berguna" di hadapan anak perempuan mereka.

Teo kemudian mencekik mangsa sampai mati sebelum menyuruh anaknya duduk di pangkunya. Dia kemudian mencekik anaknya sampai mati menggunakan tuala.

Beberapa hari selepas pembunuhan itu, Teo meletakkan kedua-dua mayat itu di atas katilnya dan tidur bersama mereka selama seminggu.

Dia juga cuba membunuh diri dengan pelbagai cara namun gagal setiap kali. Akhirnya, dia memutuskan untuk membakar kedua-dua mayat itu dan cuba berbaring bersebelahan dengan mayat-mayat tersebut tetapi tidak meneruskan niat untuk membunuh diri kerana takut pada api.

Mayat-mayat yang dibakar itu ditemui pada hari pertama Tahun Baru Cina pada 2017 apabila abang ipar Teo mengetuk pintu rumahnya dan terhidu bau busuk dari tingkapnya.

Teo dibebani hutang sekeliling pinggang angkara perjudian, bil kad kredit dan yuran persekolahan anak perempuannya yang tidak dapat dilunaskan dan kerap menangguhkannya.

Teo pernah bekerja sebagai seorang ejen hartanah yang meraih pendapatan sekitar S$20,000 sebulan sebelum industri itu melalui peralihan dan dia mengalami masalah kewangan, di samping berdepan dengan kesulitan untuk melunaskan bil-bil yang tertunggak setelah pekerja di sebuah syarikat ubah elok.

Keputusan rayuannya akan dikeluarkan pada satu tarikh yang belum diputuskan. 

- CNA/SM/sm

Top