Images
  • valuemax
    Kedai pajak ValueMax

Lelaki bersenjata parang larikan diri selepas gagal rompak kedai pajak Bedok

SINGAPURA: Seorang lelaki bersenjatakan parang melarikan diri selepas gagal dalam percubaannya untuk merompak kedai pajak ValueMax di Blok 213 Bedok North Street 1 pada Jumaat (12 Jul).

Menurut pengurus kedai tersebut, yang hanya ingin dikenali sebagai Encik Choo, kejadian berlaku pada sekitar 1.55 petang.

Lelaki tersebut memasuki kedai dengan memakai topeng dan membawa parang. Dia kemudian menghentak parang itu pada kotak pameran kaca namun senjata itu pecah kepada dua bahagian, menurut pengurus kedai tersebut.

Lelaki itu kemudian mengutip bahagian yang pecah dan melarikan diri. Kejadian itu berlaku hanya dalam tempoh lima minit, kata Encik Choo.

Beliau menambah lelaki berkenaan kelihatan dalam lingkungan usia 40-an tahun dan sederhana tinggi.

Apabila Mediacorp mengunjungi tempat kejadian pada Jumaat petang, hingga lima anggota polis kelihatan sedang bercakap dengan orang ramai yang berada di situ.

Para pekerja di kedai-kedai berdekatan pula berkata mereka tidak sedar tentang kejadian tersebut sehingga para pegawai polis tiba dan orang ramai mula berhimpun di luar kedai pajak gadai itu.

Mediacorp sudah menghubungi pihak polis bagi mendapatkan maklumat lanjut.

- CNA/TQ/tq

Top