Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki akan didakwa kerana tidak pakai pelitup di MRT, ancam pegawai polis

Seorang lelaki berusia 39 tahun akan dihadapkan di mahkamah pada Jumaat (2 Jul) selepas dituduh tidak memakai pelitup ketika berada di dalam kereta api MRT dan kemudian mengancam pegawai polis yang mengesannya.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki akan didakwa kerana tidak pakai pelitup di MRT, ancam pegawai polis

Seorang lelaki dalam MRT dirakam tidak memakai pelitup (Petikan video: Facebook/Keefe Chan)

Diterbitkan : 01 Jul 2021 10:25PM Dikemas Kini : 01 Jul 2021 10:30PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 39 tahun akan dihadapkan di mahkamah pada Jumaat (2 Jul) selepas dituduh tidak memakai pelitup ketika berada di dalam kereta api MRT dan kemudian mengancam pegawai polis yang mengesannya.

Dia akan didakwa kerana mengganggu orang ramai, gagal memakai pelitup ketika tidak berada di dalam rumah dan menggunakan kata-kata yang mengancam terhadap pegawai polis yang melaksanakan tugas mereka, kata Pasukan Polis Singapura (SPF) dalam kenyataan media pada Khamis (1 Jul).

"Pada 7 Mei 2021, lelaki itu didakwa dilihat tidak memakai pelitup semasa melakukan perjalanan dalam kereta api MRT dan berkata dalam gerabak itu bahawa dia tidak akan pernah memakai pelitup," menurut SPF.

"Apabila pegawai polis mengunjunginya di tempat kediamannya pada 9 Mei 2021, dia didakwa mengancam akan mengasari mereka."

Tingkah laku lelaki di dalam kereta api MRT itu dirakam oleh seorang penumpang. Video itu kemudian menjadi tular online.

Dalam video tersebut, para penumpang kedengaran menggesa lelaki itu supaya memakai pelitup, yang mana dia menjawab: "Kau pakai aje pelitup, tak apa-apa. Aku takkan pernah pakai pelitup."

Lelaki itu kemudian duduk di antara dua penumpang, mendorong seorang wanita di sebelah kanannya untuk segera beralih tempat.

"Aku sangat taat agama dan cinta manusia," kata lelaki dalam video itu. "Dan aku benci tengok pakcik-pakcik, atuk-atuk memakai pelitup."

Video tersebut juga menunjukkan seorang penumpang menawarkan pelitup kepada lelaki itu, tetapi dia enggan memakainya.

SMRT menyatakan ketika itu bahawa pihaknya sudah membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut.

SPF mengingatkan orang ramai agar mengambil serius langkah-langkah jarak selamat.

"Polis mengambil pandangan tegas terhadap tingkah laku yang tidak bertanggungjawab yang berkaitan dengan pelanggaran langkah-langkah jarak selamat, dan pesalah akan ditangani mengikut undang-undang," kata SPF.

"Ayuh kita mainkan peranan untuk mengekang penularan COVID-19."

Mereka yang disabitkan atas kesalahan mengganggu ketenteramaan awam akan dikenakan denda sehingga S$2,000, penjara sehingga tiga bulan atau kedua-duanya.

Kesalahan melanggar Peraturan COVID-19 (Langkah Sementara) (Perintah Kawalan) 2020, membawa denda tidak melebihi S$10,000, penjara sehingga enam bulan atau kedua-duanya.

Mereka yang didapati bersalah menggunakan kata-kata mengancam terhadap penjawat awam yang berkaitan dengan pelaksanaan tugas mereka berdepan denda sehingga S$5,000, penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan