Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki 73 tahun dijel selepas cuba sogok, tolak pegawai Polis Trafik

Seorang lelaki tempatan berusia 73 tahun dipenjara dan didenda pada Rabu (13 Feb) kerana cuba menyogok seorang pegawai Polis Trafik yang menahannya kerana memandu dengan laju. Tang Joo Yong @ Peter Tan kemudian menolak pegawai tersebut kerana tawarannya ditolak.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 73 tahun dijel selepas cuba sogok, tolak pegawai Polis Trafik

Polis trafik di Singapura. (Gambar fail: Francine Lim)

Diterbitkan : 13 Feb 2019 09:16PM Dikemas Kini : 14 Feb 2019 03:37AM

SINGAPURA: Seorang lelaki tempatan berusia 73 tahun dipenjara dan didenda pada Rabu (13 Feb) kerana cuba menyogok seorang pegawai Polis Trafik yang menahannya kerana memandu dengan laju. Tang Joo Yong @ Peter Tan kemudian menolak pegawai tersebut kerana tawarannya ditolak.

Tang mengaku bersalah kerana cuba memberi suapan kepada pegawai polis, disamping menggunakan kekerasan jenayah terhadap penjawat awam, menurut Biro Siasatan Amalan Rasuah (CPIB) dan polis dalam satu kenyataan.

Dia juga mengaku memandu meskipun tidak dibenarkan, menggunakan kenderaan tanpa perlindungan insurans, memandu dengan laju dan mengizinkan orang lain memandu keretanya tanpa lesen.

Pada 10 Apr 2018, Tang ditahan Sarjan Polis Trafik David Yap kerana memandu laju.

Apabila pegawai berkenaan memberitahu Tang bahawa beliau akan mengeluarkan saman kepadanya kerana memandu laju, Tang cuba menyogoknya dengan dua keping nota S$50.

"Sogokan itu ditolak SGT Yap yang kemudian cuba memberkas Tang dan memintanya supaya memberi kerjasama," menurut CPIB dan polis. "Tang berjalan lalu menolak SGT Yap di bahagian dadanya dengan menggunakan kedua-dua belah tangannya."

Pegawai itu juga mendapati Tang memandu meskipun dia tidak dibenarkan berbuat demikian, menurut pihak berkuasa, sambil menambah bahawa ia bukan kali pertama dia ditangkap melakukan kesalahan itu.

Di samping itu, Tang juga melakukan kesalahan termasuk memandu kenderaan tanpa perlindungan insurans dan memandu kenderaan tanpa izin pemilik kereta tersebut.

Dalam satu insiden berasingan pada Oktober 2017, Tang difahamkan membenarkan seorang lagi lelaki, Manoharan Sivanatham, memandu kenderaan miliknya meskipun tidak mempunyai lesen memandu yang sah.

Hari ini, Tang dijatuhi hukuman penjara selama 14 bulan dan 10 minggu, serta didenda S$1,300.

Dia juga dilarang memiliki lesen memandu atau mengikuti kelas memandu seumur hidup bermula hari ini.

CPIB juga memuji SGT Yap kerana "bertindak jujur" dan menggalak orang ramai supaya mencontohinya sekiranya ditawarkan sogokan.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan