Images
  • tap water
    (Gambar: Pexels)

Lelaki 70 tahun ini tergamak isi botol dengan air paip tandas dan jualnya sebagai air mineral

SINGAPURA: Seorang lelaki didenda S$3,500 pada Rabu (3 Mac) kerana mengisi botol dengan air paip dari sebuah tandas untuk dijual sebagai air mineral meskipun dia tidak mempunyai lesen untuk menguruskan perniagaan sedemikian.

Richard Lim Lian Chye, 70 tahun, mengaku bersalah atas satu tuduhan di bawah Akta Penjualan Makanan kerana mengendalikan perniagaan makanan bukan runcit tanpa lesen yang sah di mana dia menghasilkan 285 liter air botol untuk dijual.

Mahkamah diberitahu bahawa Lim mengendalikan sebuah syarikat menjual minuman dalam botol yang diberi nama Drinkstar Enterprise di 55 Serangoon North Avenue 4.

Syarikat itu menjual minuman dalam botol yang diimport dari Malaysia tetapi mula mengalami masalah mengimport air pada 2018. Setelah itu, Lim mula mengisi botol-botol dengan air paip dari sebuah tandas di premis syarikatnya.

Dia menghasilkan "15 unit air botol, setiap unit mengandungi 19 liter air" untuk dijual, menurut dokumen mahkamah.

Kegiatan haram itu terbongkar apabila pihak berkuasa memeriksa syarikat Lim pada Disember 2019 dan mengarahkan syarikat itu supaya menghentikan kegiatannya dan menarik balik air botol yang dijual. Botol-botol yang ditarik balik itu kemudian dihapuskan.

Pihak pendakwa mengusulkan denda antara S$3,000 hingga S$4,000, sambil berkata bahawa mengendalikan perniagaan minuman dalam botol tanpa lesen dan secara haram adalah satu kesalahan yang serius. Beliau juga berkata menjual air paip demi mengaut keuntungan bagi memenuhi kontrak penjualan syarikat yang tertunggak adalah "sangat serius".

Minuman dalam botol mesti diperolehi daripada syarikat-syarikat bertauliah yang mempunyai program jaminan yang sewajarnya dengan sijil kesihatan, permit dan label relevan, menurut pendakwa Agensi Makanan Singapura (SFA).

"Menggunakan air daripada tandas menerusi paip getah adalah sesuatu yang sangat menjijikkan dan berpotensi menimbulkan risiko kesihatan kepada para pelanggan yang tidak berhati-hati," katanya lagi.

Lim yang tidak diwakili peguam berkata syarikatnya sudah gulung tikar dan dia sedang menganggur.

"Sekarang saya tidak lagi bekerja, saya berharap Hakim, anda boleh mengenakan denda yang lebih ringan kerana ... ia akan menjadi satu beban bagi saya," katanya.

Lim turut mendedahkan bahawa dia melakukan kesalahan itu disebabkan oleh kontrak penjualan yang tertunggak dan dia juga berkata bahawa dia sudah menapis air paip itu.

"Para pelanggan menjangkakan botol air mineral dan tidak menyangka akan mendapat air yang diperolehi daripada paip," kata Hakim Daerah Adam Nakhoda, sambil menambah "jelas sekali terdapat elemen komersil pada kesalahan ini".

Bagi kesalahan mengendalikan perniagaan makanan bukan runcit tanpa lesen, Lim boleh dikenakan denda sehingga S$5,000. Sabitan seterusnya boleh dikenakan denda maksimum seganda dan hukuman penjara sehingga tiga bulan.

- CNA/HA/ha

Top