Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki 69 tahun dilapor hilang di Turki sebelum sempat mengikuti pakej Hamidah Travel

Seorang lelaki warga Singapura berusia 69 tahun dilaporkan hilang di Istanbul selepas tidak dapat menaiki pesawat untuk menyertai pakej percutian Hamidah Travel & Tours Pte Ltd di Turki pada awal bulan lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 69 tahun dilapor hilang di Turki sebelum sempat mengikuti pakej Hamidah Travel

Keberadaan Encik Syed Hussein Syed Agil belum diketahui sehingga kini. (Gambar: Ihsan Keluarga)

SINGAPURA: Seorang lelaki warga Singapura berusia 69 tahun dilaporkan hilang di Istanbul selepas tidak dapat menaiki pesawat untuk menyertai pakej percutian Hamidah Travel & Tours Pte Ltd di Turki pada awal bulan lalu.

Encik Syed Hussein Syed Agil seharusnya berangkat ke Istanbul pada 13 Mac dan berkumpul dengan 7 pelancong lain - yang juga adalah rakyat negara ini - di lapangan terbang Istanbul.

Namun, sebelum memulakan perjalanan, kelibat Encik Syed tidak kelihatan. Hamidah Travel lantas bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk mencari tahu keberadaannya.

Sehingga ke hari ini (1 Apr), tiada sebarang khabar tentang Encik Syed. Pihak Hamidah Travel juga tidak dapat menghubunginya kerana Encik Syed tidak memiliki telefon bimbit.

Hanya nombor telefon rumah yang diberikan Encik Syed semasa beliau menempah pakej ke Turki.

Kementerian Ehwal Luar Singapura (MFA) mengesahkan kepada Hamidah Travel bahawa pelanggan mereka itu sudahpun melalui pelepasan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcen di Turki pada 14 Mac.

Namun, pihak keluarga mahupun ejen pelancongan tidak mendapat sebarang khabar darinya. Ini bermakna, sudah hampir 3 minggu Encik Syed 'menghilangkan diri'.

KE PINTU NAIK PESAWAT LEBIH AWAL TETAPI...

Menurut pihak Hamidah Travel menerusi catatan Facebooknya, Encik Syed sempat ditemui oleh seorang kakitangannya di Terminal 1 Lapangan Terbang Changi pada 9.00 malam 13 Mac.

Selepas mendaftar di kaunter Turkish Airlines, kakitangan Hamidah Travel menerangkan kepadanya tentang semua urusan penerbangan.

"Encik Syed memutuskan untuk ke pintu naik pesawat (boarding gate) dan tidak menunggu 7 penumpang lain yang akan melancong bersamanya kerana mereka belum tiba di lapangan terbang ketika itu," menurut Hamidah Travel.

"Beliau ingin ke pintu naik pesawat lebih awal dan menunggu (di sana)," jelas Hamidah Travel lagi.

Sebelum itu, Encik Syed ditemani saudara lelakinya, Encik Mahmud, setakat di dewan keberangkatan saja.

Malangnya, pada keesokan harinya (14 Mac), pihak ejen pelancongan dimaklumkan oleh pemandu pelancong bahawa Encik Syed tidak hadir untuk mengikuti rombongannya.

(Gambar: Facebook)

(Gambar: Facebook)

"Kami menyuruh pemandu pelancong menunggu kerana mungkin beliau masih melalui proses imigresen dan mengambil beg. Namun, selepas menunggu sejam, beliau masih tidak kelihatan di tempat mereka seharusnya berkumpul," menurut Hamidah Travel.

TIDAK DAPAT NAIK PESAWAT SAMA KERANA PASPORT HILANG

Pemandu pelancong tempatan selanjutnya ke Pejabat Turkish Airlines Lapangan Terbang Istanbul dan mendapat tahu bahawa Encik Syed tidak dapat melakukan perjalanan dari Singapura ke Istanbul.

Sebaik sahaja mendapat tahu tentang perkara itu, pihak Hamidah Travel menghubungi keluarga Encik Syed untuk bertanya jika beliau pulang ke rumah.

"Pihak keluarga tidak mendapat sebarang maklumat dan Encik Syed tidak pulang ke rumah," kata Pengarah Hamidah Travel & Tours Pte Ltd, Encik Badruzzaman Abdul Majid.

Sementara menunggu bantuan dari pihak Lapangan Terbang Changi, Encik Badruzzaman membuat aduan polis, selain melaporkan insiden itu kepada MFA.

Pasukan Polis Singapura (SPF) hari ini (1 Apr) mengesahkan kepada BERITAmediacorp bahawa Hamidah Travel membuat aduan kepada pihaknya.

Hanya pada 8.00 malam pada hari yang sama (14 Mac), Hamidah Travel mendapat pengesahan daripada syarikat Turkish Airlines bahawa Encik Syed tidak dapat melancong ke Istanbul dengan menaiki pesawat TK54 pada 13 Mac kerana "beliau tidak dapat jumpa pasport".

Pesawat berlepas tanpa Encik Syed.

ATUR PERJALANAN SENDIRI KE DUBAI

Menurut catatan Facebook itu lagi, selepas dibawa ke dewan keberangkatan oleh kakitangan Turkish Airlines, Encik Syed menemui pasportnya dan ini berdasarkan maklumat yang disahkan kepada Hamidah Travel oleh kaunter Turkish Airlines.

Menurut Turkish Airlines, Encik Syed kemudian bertanya dengan pihak mereka jika dia masih boleh melancong.

"Pesawat sudah berlepas dan Turkish Airlines hanya ada 1 penerbangan sehari. Tugas kakitangan syarikat itu hanya untuk membawanya ke dewan keberangkatan di mana Encik Syed seharusnya pulang dan atur jadual baru. Tetapi itu tidak dilakukannya," menurut Hamidah Travel.

Ejen pelancongan itu selanjutnya menerima panggilan daripada Pegawai Siasatan Polis Lapangan Terbang Changi yang memaklumkan bahawa Encik Syed sekali lagi melepasi imigresen Singapura pada 7.17 pagi 14 Mac 2020. Beliau dikatakan menempah tiket ke Dubai dengan syarikat Emirates.

Pesawat Emirates itu berlepas pada 9.35 pagi pada hari yang sama.

"Tanpa memaklumkan sesiapa - termasuk Hamidah Travel atau keluarganya, beliau terbang ke Dubai. Kami tidak menerima sebarang panggilan darinya. Semua nombor kecemasan sudah diberikan kepada semua pelancong sekiranya menghadapi masalah. Namun, tiada panggilan darinya," kata Encik Badruzzaman.

MFA SAHKAN ENCIK SYED SUDAH TIBA DI TURKI

Pada 15 Mac, Hamidah Travel menerima panggilan dari MFA pula yang mengesahkan bahawa Encik Syed sudah tiba di Dubai dan meneruskan perjalanan ke Istanbul dengan menaiki pesawat Fly Dubai EK2226 pada 14 Mac.

Encik Syed dikatakan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokcem pada 11.40 malam itu.

(Gambar: Sabiha Gokcen Airport)

(Gambar: Sabiha Gokcen Airport)

Ini juga disahkan oleh Kedutaan Singapura di Ankara, Turki, bahawa beliau melepasi imigresen di lapangan terbang itu.

Semua perjalanan diaturnya seorang diri dan tidak dilakukan melalui Hamidah Travel dan ini disahkan oleh Encik Badruzzaman.

"Kami, Hamidah Travel, memaklumkan pengendali darat kami di Istanbul untuk mencarinya di lapangan terbang dengan harapan beliau masih menunggu di sana," tambahnya.

Encik Syed tetap belum ditemui.

"Kami mencari setiap hotel yang dikunjungi rombongannya kerana ada kemungkinan beliau terus menuju ke hotel. Namun, kami tidak mendapat sebarang maklumat."

Hamidah Travel masih berhubungan dengan keluarga Encik Syed dan Kedutaan Singapura di Turki pula masih memeriksa dan menjalankan siasatan.

MOHON JANGAN BUAT SPEKULASI

Dalam catatan Facebooknya, Hamidah Travel berharap kes ini dapat dikongsi secara meluas.

"Insya-Allah dengan berkongsi maklumat ini di media sosial, ia akan membantu kami mencari Encik Syed Hussein secepat mungkin," tulis pihak ejen pelancongan itu.

"Kami mohon jangan membuat sebarang spekulasi dan prasangka yang menambahkan kerumitan."

Seorang warga Singapura, Encik Farhan Ibrahim yang kini di Istanbul tampil untuk menghulurkan bantuan selepas melihat catatan Hamidah Travel.

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan