Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki 40 tahun dihantar ke hospital selepas dilanggar kereta di luar Platinium Dogs Club

Seorang lelaki berusia 40 tahun dibawa ke hospital pada Rabu (2 Jan) selepas dilanggar sebuah kereta di hadapan Platinium Dogs Club, sebuah pusat jagaan haiwan peliharaan yang sedang disiasat atas tuduhan menganiaya haiwan.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 40 tahun dihantar ke hospital selepas dilanggar kereta di luar Platinium Dogs Club

Anggota paramedik beri bantuan kepada lelaki cedera di luar Platinium Dog Club (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 03 Jan 2019 08:17AM Dikemas Kini : 03 Jan 2019 08:19AM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 40 tahun dibawa ke hospital pada Rabu (2 Jan) selepas dilanggar sebuah kereta di hadapan Platinium Dogs Club, sebuah pusat jagaan haiwan peliharaan yang sedang disiasat atas tuduhan menganiaya haiwan.

Menurut polis, lelaki itu mendakwa bahawa beliau dilanggar oleh sebuah kenderaan yang mengundur keluar dari pusat jagaan haiwan peliharaan itu yang ditempatkan di sebuah rumah sebandung di 7 Galistan Avenue.

Polis juga menyatakan bahawa lelaki itu adalah antara sekumpulan orang yang berkumpul di luar pusat tersebut. Beliau dipercayai seorang sukarelawan yang membantu salah seorang pemilik haiwan peliharaan yang datang ke pusat berkenaan untuk bersemuka dengan pemiliknya.

Polis menambah pihaknya dimaklumkan bahawa kumpulan itu "menghalang" jalan masuk rumah pada kira-kira 4.30 petang.

"Siasatan awal menunjukkan bahawa seorang lelaki berusia 40 tahun dari kumpulan itu mendakwa bahawa beliau telah dilanggar oleh kenderaan yang mengundur keluar dari unit itu. Lelaki itu kemudian dihantar ke Hospital Besar Ng Teng Fong dalam keadaan sedar, " menurut polis.

Wanita yang mengendalikan Platinium Dogs Club berada di tempat duduk penumpang kenderaan yang melanggar lelaki itu, lapor Mediacorp.

Menurut laporan itu lagi, wanita tersebut mengunci kereta semasa bercakap dengan pegawai polis menerusi tingkap kenderaan. Beliau juga dilihat memasuki rumah tersebut bersama dengan pegawai polis.

Polis juga menyatakan pemandu berusia 33 tahun itu bersama dengan tujuh wanita dan empat lelaki, termasuk lelaki berusia 40 tahun yang dilanggar, sedang membantu siasatan.

PEMILIK HAIWAN RISAU

Antara yang berkumpul di luar Platinium Dogs Club ialah Cik Elaine Mao, seorang pemilik haiwan peliharaan. Beliau memberitahu Mediacorp bahawa anjingnya hilang selepas dihantar ke pusat itu.

Menurut Cik Mao, beliau sebelum ini menghantar anjing Shetland Sheepdog yang diberi nama Prince ke pusat berkenaan pada 16 Disember dan diberitahu oleh pusat itu pada 30 Disember bahawa haiwan kesayangannya sudah hilang.

Cik Mao berkata beliau pergi ke pusat itu untuk meminta penjelasan daripada pemilik pusat berkenaan tentang apa yang berlaku pada anjingnya. Namun, pemiliknya tidak menjawabnya walaupun setelah Cik Mao bersemuka dengannya.

"Kami ingin tahu sama ada Prince sudah mati atau masih hidup ... dan menemuinya secepat mungkin. Ia anjing kesayangan kami," kata Cik Mao dalam bahasa Mandarin dalam wawancaranya bersama Mediacorp.

Cik Mao adalah antara beberapa pemilik haiwan peliharaan yang membuat aduan tentang haiwan-haiwan yang diperlakukan dengan cara yang buruk di bawah jagaan Platinium Dogs Club, yang sedang disiasat oleh Penguasa Agromakanan dan Veterinar (AVA).

AVA merampas 18 anjing dan seekor arnab selepas menyerbu pusat itu pada Sabtu dan kemudian mengembalikan beberapa haiwan peliharaan kepada pemiliknya.

Di bawah Akta Haiwan dan Burung, sesiapa yang gagal menjaga haiwan dengan baik semasa menjalankan perniagaan yang berkaitan dengan haiwan boleh didenda sehingga S$40,000 atau dipenjara selama dua tahun, atau kedua-duanya sekali.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan