Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki 40 tahun didakwa; muat naik 'maklumat sulit' tentang langkah pemutus jangkitan COVID-19

Seorang lelaki berusia 40 tahun didakwa pada Isnin (27 Apr) dengan tuduhan memuat naik mesej palsu mengenai langkah-langkah baru yang kononnya akan dikuatkuasakan sebagai langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 40 tahun didakwa; muat naik 'maklumat sulit' tentang langkah pemutus jangkitan COVID-19

Gambar fail.

Diterbitkan : 27 Apr 2020 01:37PM Dikemas Kini : 27 Apr 2020 01:39PM

SINGAPURA: Seorang lelaki berusia 40 tahun didakwa pada Isnin (27 Apr) dengan tuduhan memuat naik mesej palsu mengenai langkah-langkah baru yang kononnya akan dikuatkuasakan sebagai langkah pemutus rantaian jangkitan COVID-19.

Kenneth Lai Yong Hui dituduh memuat naik mesej yang mendakwa dia "mempunyai maklumat sulit" bahawa Singapura akan "menguatkuasakan lebih banyak langkah" mulai 18 April.

Mesej itu, yang dimuat naik ke laman Facebook Taxiuncle, menambah bahawa pusat makanan dan kedai kopi akan ditutup. Pasar raya pula hanya akan dibuka dua kali seminggu.

"Lebih baik beli barang-barang keperluan untuk bulan depan atau selebihnya. Para pegawai pemerintah telah mengadakan mesyuarat semalam dan akan memuktamadkan langkah-langkah itu esok," menurut catatan yang dimuat naik itu.

Lai memuat naik mesej itu sebelum 20 April, menurut kertas pertuduhan, sejurus sebelum Singapura melanjutkan tempoh pemutus rantaian jangkitan.

Singapura sedang menguatkuasakan langkah pemutus jangkitan untuk mengekang penularan COVID-19 di negara ini. Ia bermula pada 7 April dan sepatutnya berakhir pada 4 Mei tetapi sudah dilanjutkan sehingga 1 Jun.

Langkah-langkah jarak selamat sudahpun diperketatkan dengan kedai gunting rambut, kedai haiwan peliharaan serta cawangan persendirian yang menjual minuman dan pencuci mulut diarahkan supaya ditutup.

Pusat makanan, kedai kopi, pasar raya dan pasar basah tetap dibuka meskipun sekatan dikenakan untuk melanggani empat pasar basah yang popular di sini. 

Polis menyatakan dalam satu kenyataan pada pagi Isnin (27 Apr) bahawa pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap sesiapa yang menyebarkan atau menyampaikan kepalsuan.

"Orang ramai seharusnya merujuk kepada sumber rasmi untuk mendapatkan maklumat dan elak menyebarkan maklumat tidak sahih atau khabar angin kerana ia boleh menimbulkan rasa takut dan cemas," kata polis.

Lai dijangka akan dihadapkan ke mahkamah pada 27 Mei untuk mengaku bersalah.

Bagi kesalahan menyebarkan mesej palsu, dia boleh dipenjara sehingga tiga tahun, dikenakan denda maksimum S$10,000, atau kedua-dua hukuman tersebut. 

Sumber : CNA/AY/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan