Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki 34 tahun didenda S$45,000; jual e-rokok haram online

Gara-gara mahu menjalankan perniagaan haram menjual rokok elektronik (e-rokok) dan aksesori-aksesorinya, seorang lelaki sanggup melaburkan sebanyak S$10,000. Perniagaan haram itu dikendalikan selama 20 bulan sebelum Penguasa Sains Kesihatan (HSA) berjaya menangkapnya. 

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 34 tahun didenda S$45,000; jual e-rokok haram online

(Gambar fail: Mark Blinch/Reuters)

Diterbitkan : 17 Jul 2020 03:47PM Dikemas Kini : 17 Jul 2020 03:49PM

SINGAPURA: Gara-gara mahu menjalankan perniagaan haram menjual rokok elektronik (e-rokok) dan aksesori-aksesorinya, seorang lelaki sanggup melaburkan sebanyak S$10,000. Perniagaan haram itu dikendalikan selama 20 bulan sebelum Penguasa Sains Kesihatan (HSA) berjaya menangkapnya.

Max Sim Jia Liang, 34 tahun, didenda S$45,000 atas kesalahan-kesalahannya pada Khamis (16 Jul). Jika dia tidak dapat membayar denda tersebut, dia akan dihukum penjara selama 149 hari.

Dia mengaku bersalah atas 25 tuduhan di bawah Akta Tembakau (Kawalan Iklan dan Penjualan) dengan lagi 56 tuduhan turut diambil kira.

Mahkamah dimaklumkan bahawa Sim mula mengendalikan perniagaannya secara online pada Januari 2016 dan membelanjakan S$10,000 untuk membeli bekalan rokok elektronik, komponen dan cecair secara haram daripada pembekal dari Malaysia yang menawarkan bekalannya melalui Instagram.

Dia akan menguruskan penghantaran stok sekurang-kurangnya tujuh kali sepanjang tempoh 17 bulan.

Sim turut meluangkan masa untuk mengiklankan dan memasarkan stok-stoknya secara online untuk mendapatkan lebih ramai pelanggan dan akhirnya menjalankan perniagaannya melalui wadah-wadah seperti Carousell, Instagram, WhatsApp dan WeChat, atas cadangan kawan-kawannnya.

Dia juga mengiklankan rokok elektronik, komponen-komponen dan cecairnya, pil nikotina dan Armodafinil, sejenis ubat tidur untuk dijual.

Sim menjual sekurang-kurangnya tiga set rokok elektronik kepada pembeli di Tampines, Kondominium Keppel Bay dan pusat beli-belah Clementi Mall pada 2017. Dia juga menjual komponen produk tembakau tiruan kepada sekurang-kurangnya tiga pembeli pada tahun itu melalui WeChat.

Selain itu, dia turut menjual sekurang-kurangnya 60 botol cecair yang mengandungi nikotina kepada 11 pembeli yang berlainan dan menghantar sendiri produk-produk tersebut ke lokasi-lokasi seperti Woodlands, Sengkang West dan Tampines.

JENAYAH TERBONGKAR

Cabang Kawalan Tembakau Penguasa Sains Kesihatan (HSA) mendapat maklumat daripada pengawasan online yang menunjukkan Sim menjual rokok elektronik dan produk-produk berkaitan melalui akaun "maclicious" di Carousell.

Pada 30 Ogos 2017, seorang pegawai Penguasa Sains Kesihatan (HSA) menyamar diri untuk membeli produk-produk tersebut dari Sim melalui Carousell dan pegawai itu membuat tempahan untuk membeli empat botol cecair bernilai S$190.

Pegawai tersebut dan Sim bertemu di Boon Lay pada 4 Sep 2017. Apabila Sim tiba untuk memberi pegawai tersebut produk yang dipesannya, pegawai-pegawai Penguasa Sains Kesihatan (HSA) mendedahkan identiti mereka dan menggeledah kenderaan sewa Sim.

Mereka menemui pelbagai jenis rokok elektronik dan komponen-komponennya, serta cecair yang mengandungi nikontina.

Selepas itu, Sim membawa para pegawai Penguasa Sains Kesihatan (HSA) ke rumahnya di mana mereka menjumpai lebih banyak barangan yang berkaitan dengan perniagaan Sim dan menyita barangan-barangan tersebut.

Cecair elektronik adalah "produk tembakau berbahaya" yang digunakan dengan alat pengewap atau 'vape', menurut pihak pendakwa.

Sim mendapatkan bekalannya daripada seorang lelaki yang hanya dikenali sebagai "Vince" di Carousell.

Sim mengiklankan pil itu sebagai "pil bijak" atau "perangsang otak" dan menjual 3 lembar pil tersebut, sekali gus meraih keuntungan sebanyak S$150.

Sebanyak 150 pil dijumpai di tempat duduk depan kenderaan sewa Sim sewaktu dia diberkas oleh para pegawai Penguasa Sains Kesihatan (HSA).

Dia dibenarkan membayar denda berjumlah S$45,000 secara ansuran yang mesti dilunaskan sebelum Julai 2021.

Bagi setiap kesalahan menjual produk tembakau tiruan, Sim boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.  

Sumber : CNA/FD/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan