Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki 25 tahun yang elak NS selama 3 tahun dipenjara

Seorang lelaki yang mengelakkan daripada menjalani Perkhidmatan Negara (NS) selama lebih tiga tahun dijatuhi hukuman penjara tujuh minggu pada Isnin (11 Feb).

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 25 tahun yang elak NS selama 3 tahun dipenjara

Zaley Cheng Xi Xiong dituduh menangguhkan Perkhidmatan Negara selama lebih tiga tahun.

Diterbitkan : 12 Feb 2019 10:23AM Dikemas Kini : 12 Feb 2019 10:24AM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang mengelakkan daripada menjalani Perkhidmatan Negara (NS) selama lebih tiga tahun dijatuhi hukuman penjara tujuh minggu pada Isnin (11 Feb).

Zaley Cheng Xi Xiong meninggalkan Singapura pada 19 Mei 2014, sebulan selepas menerima notis pendaftaran.

Mahkamah diberitahu, Cheng memutuskan untuk pulang pada 2017 kerana bapanya yang tinggal di Singapura didapati menghidap barah prostat.

Pada 22 Ogos 2017, Cheng menghubungi pusat panggilan NS dari Australia untuk memaklumkan pihak berkuasa bahawa dia akan kembali untuk menjalani Perkhidmatan Negara.

Cheng telah menetap di Australia dan memperolehi ijazah sarjana muda di sana.

Dia kembali ke Singapura pada 30 Ogos 2017 dan melaporkan diri di Pangkalan Pusat Tenaga
Manusia Kementerian Pertahanan pada keesokan harinya.

Selain gagal melaporkan diri bagi Perkhidmatan Negara pada 10 Jun 2014, Cheng juga melakukan kesalahan kerana berada di luar Singapura selama lebih tiga bulan tanpa permit keluar sah.

Cheng mengaku dia mengetahui tentang notis pendaftaran yang dihantar pada Mei 2014, tetapi memilih untuk mengelak daripada menjalani NS kerana menghadapi beberapa masalah kesihatan dan bimbang mengalami kecederaan semasa latihan.

Dia didaftarkan masuk ke dalam Angkatan Bersenjata Singapura pada 26 Jan tahun lalu.

ELAK NS

Dokumen Mahkamah menyatakan Cheng berbohong kepada orang tuanya pada 2014 dan memberitahu mereka bahawa dia ingin bercuti di Brunei.

Hanya selepas tiba di Brunei, dia mengaku kepada mereka bahawa dia mahu berpindah dan tinggal di Australia untuk jangka panjang. Ibu Cheng memujuknya supaya pulang ke Singapura tetapi dia enggan.

Seorang inspektor pendaftaran berkunjung ke rumah ibu bapa Cheng pada 12 Jun 2014, dua hari selepas Cheng sepatutnya melaporkan diri tetapi tiada orang berada di rumah. Warta polis terhadap Cheng dikeluarkan empat hari kemudian.

Sehari selepas disenarai hitam, seorang inspektor pendaftaran berjaya menghubungi ibu Cheng menerusi panggilan telefon.

Beliau memberitahu pihak berkuasa bahawa kali terakhir Cheng berhubung dengan keluarganya adalah pada lewat Mei dan Cheng telah memberitahu mereka bahawa dia akan pulang ke Singapura untuk menjalani NS.

Atas kesalahan di bawah Akta Pendaftaran Perkhidmatan Negara, Cheng boleh dipenjara sehingga tiga tahun dan didenda sehingga S$10,000. 

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan