Images
  • handcuff
    Gambar fail seseorang yang digari.

Lelaki 21 tahun mengaku lakukan hubungan seks; ambil kesempatan budak bawah umur

SINGAPURA: Meskipun sudah menjalin hubungan dengan seorang gadis selama empat bulan, Dylan Tan Sheng Xuan 20 tahun meminta seorang remaja menjadi kekasihnya.

Remaja perempuan berusia 14 tahun itu bersetuju. Tan kemudian menghantar gambar bogelnya kepada remaja berkenaan dan meminta remaja tersebut melakukan perkara yang sama. Mereka malah melakukan hubungan seks walaupun remaja itu masih bawah umur. Kurang sebulan selepas mereka bersama, Tan memutuskan hubungan dengan remaja itu selepas dia mendapati remaja tersebut mengirimkan terlalu banyak pesanan teks semasa dia sedang bermain permainan komputer. Dia kemudian menghantar gambar bogel remaja perempuan itu kepada salah seorang rakan sekolah remaja tersebut, yang kemudian menyebarkannya kepada rakan-rakan sekolah yang lain.

Pada Jumaat (20 Nov), Tan, yang kini berusia 21 tahun, mengaku bersalah dalam perbicaraan melalui sidang video, atas satu tuduhan melakukan hubungan seks dengan budak bawah umur dan satu lagi tuduhan eksploitasi seksual kanak-kanak bawah umur. Tuduhan ketiga bagi mengedarkan bahan lucah kepada individu rbawah umur akan dipertimbangkan semasa menjatuhkan hukuman pada 10 Disember.

Atas gesaan daripada pihak pendakwa dan peguam bela, Hakim Daerah Chee Min Ping mengarahkan supaya hukuman diputuskan selepas Tan dinilai sama ada dia sesuai untuk dikenakan probesyen. Probesyen lazimnya ditawarkan kepada pesalah kali pertama yang berusia antara 16 hingga 21 tahun. Ia tidak mengakibatkan sabitan jenayah yang direkodkan dan dengan itu ia membolehkan para pesalah yang masih muda untuk meneruskan pendidikan mereka atau bekerja semasa menjalani hukuman.

Nama mangsa tidak boleh didedahkan atas perintah mahkamah demi melindungi identitinya. Begitu juga dengan nama rakan sekolahnya, yang tidak boleh didedahkan kerana dia dilindungi di bawah Akta Kanak-Kanak dan Orang Muda. Mahkamah diberitahu bahawa Tan mengetahui tentang umur sebenar remaja itu semasa mereka memutuskan untuk menjalin hubungan.

IBU MAHU 'AJAR' TAN

Selepas lebih sebulan ditahan reman, Tan dibebaskan semalam dengan ikat jamin S$15,000. Ibunya, yang hadir di mahkamah, pada mulanya tidak mahu membayar ikat jamin tersebut kerana mahu 'mengajar' anaknya itu", peguam Tan, SS Dhillon memberitahu mahkamah.

Semasa mengusulkan laporan kesesuaian probesyen, Encik Dhillon menambah bahawa ibu Tan adalah seorang ibu tunggal selepas suaminya meninggal dunia.

"Saya sudah bercakap dengan Tan dan saya beritahunya bahawa jika diberikan peluang, dia mesti mematuhi semua peraturan dan syarat" kata beliau. "Dan dia malah amat kesal. Dia bersedia untuk mematuhi sebarang saranan yang dinyatakan dalam laporan probesyen.

"Bagi pesalah dewasa, melakukan hubungan seks dengan budak bawah umur boleh membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda, atau kedua-duanya sekali. Eksploitasi seksual melibatkan mangsa bawah umur pula membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, didenda sehingga S$10,000 atau kedua-duanya sekali.

- TODAY/AY/ha

Top