Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lelaki 20 tahun 'cabut' dari lakukan ujian swab COVID-19, buat tatu esok harinya

Seorang lelaki yang mengunjungi sebuah poliklinik kerana mengalami gejala berkaitan COVID-19 diarahkan untuk menjalani ujian swab.

Anggaran Waktu Membaca:
Lelaki 20 tahun 'cabut' dari lakukan ujian swab COVID-19, buat tatu esok harinya

Gambar: iStock

Diterbitkan : 26 Nov 2021 01:23PM Dikemas Kini : 26 Nov 2021 01:24PM

SINGAPURA: Seorang lelaki yang mengunjungi sebuah poliklinik kerana mengalami gejala berkaitan COVID-19 diarahkan untuk menjalani ujian swab.

Namun, sebaliknya, Tan Fu Yu melarikan diri daripada klinik dan hanya mengambil ujian itu sembilan bulan kemudian.

Sehari selepas berjumpa doktor, individu 20 tahun itu juga mengunjungi sebuah studio tatu untuk mendapatkan tatu pada bahagian dadanya dan tidak berhenti berdarah.

Tang mengaku bersalah hari ini (26 Nov) atas satu tuduhan meninggalkan rumah tanpa alasan munasabah meskipun sudah diberikan sijil perubatan yang memerlukannya untuk duduk di rumah, dengan tuduhan kedua yang serupa diambil kira sewaktu menjatuhkan hukuman.

Mahkamah diberitahu bahawa Tan mengunjungi Poliklinik Ang Mo Kio pada 8 Disember tahun lalu kerana mengalami batuk kering dan sakit tekak.

Seorang doktor kemudian memberi diagnosis jangkitan akut saluran pernafasan atas dan dia mengarah Tan supaya menjalani ujian swab COVID-19.

Beliau juga memberi Tan sijil perubatan untuk menyatakan dia menghidapi jangkitan akut saluran pernafasan atas dan mengecualikannya daripada ke kerja atau sekolah selama tiga hari. Sijil itu menyatakan bahawa Tan diwajibkan di sisi undang-undang untuk duduk di rumah hingga ujian swab COVID-19 negatif.

Doktor memberitahu Tan bahawa dia tidak boleh meninggalkan rumahnya sepanjang tempoh sijil perubatannya itu atau hingga dia menerima keputusan negatif ujian swab.

Tan memaklumkan bahawa dia memahami penerangan doktor, mendapatkan sijil perubatan itu dan meninggalkan bilik doktor.

Namun, dia tidak menjalani ujian swab COVID-19 ataupun mendapatkan ubat-ubatannya. Sebaliknya, Tan meninggalkan poliklinik dan menaiki bas pulang ke rumah.

Jururawat beberapa kali cuba menghubunginya menerusi telefon tetapi dia tidak menjawab.

Keesokan harinya, Tan meninggalkan rumah dan menaiki kereta sewa privet Grab ke Sin Ming Road di mana dia menghadiri janji temu bagi membuat tatu.

Artis tatu itu melukis tatu pada bahagian dada Tan dan mendapati dia tidak berhenti berdarah, kata pihak pendakwa.

Tan meninggalkan studio selepas prosedur itu dan menaiki bas pulang ke rumah. Dia tidak menjalani sebarang ujian COVID-19 pada bulan itu dan hanya menjalani ujian tindak balas rantaian polimerase (PCR) pada 19 September tahun ini, dengan keputusan ujian negatif.

Dokumen mahkamah tidak mendedahkan mengapa Tan diberi ujian swab COVID-19 pada September.

Dia akan kembali dihadapkan ke mahkamah untuk mengemukakan rayuan dan dijatuhi hukuman pada bulan depan.  

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan