Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lee Hsien Yang kata isteri tidak pernah jadi peguam Lee Kuan Yew

Encik Lee Hsien Yang semalam (7 Jan) mempersoalkan keputusan Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk merujukkan satu kes melibatkan isterinya, Cik Lee Suet Fern, seorang peguam, kepada Persatuan Undang-Undang.

Anggaran Waktu Membaca:
Lee Hsien Yang kata isteri tidak pernah jadi peguam Lee Kuan Yew

Gambar fail Encik Lee Hsien Yang. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 08 Jan 2019 08:57AM Dikemas Kini : 08 Jan 2019 09:04AM

SINGAPURA: Encik Lee Hsien Yang semalam (7 Jan) mempersoalkan keputusan Pejabat Peguam Negara (AGC) untuk merujukkan satu kes melibatkan isterinya, Cik Lee Suet Fern, seorang peguam, kepada Persatuan Undang-Undang.

AGC sebelum ini mendakwa "kemungkinan salah laku profesional" oleh Cik Lee semasa menyiapkan wasiat terakhir mendiang Encik Lee Kuan Yew, perdana menteri pengasas Singapura dan bapa kepada Encik Lee dan Perdana Menteri Lee Hsien Loong.

Menulis di laman Facebooknya, Encik Lee Hsien Yang berkata isterinya tidak pernah menjadi peguam Encik Lee Kuan Yew.

"Wasiat peribadi bapa kami ditandatangani sekitar lima tahun lalu. Bapa kami memaklumkan seluruh keluarganya dan para peguamnya dari Lee & Lee selepas beliau menyiapkan wasiat itu dan menyimpannya di Lee & Lee," kata Encik Lee Hsien Yang.

"Lee & Lee dilantik sebagai para peguam bapa kami bagi kesemua wasiatnya sejak wasiat pertamanya pada 1995. Draf wasiat pertama itu disediakan oleh ibu kami, Kwa Geok Choo, yang pada masa itu ialah penerima utama di bawah wasiat bapa kami."

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan pada Isnin (7 Jan), AGC menyatakan bahawa Cik Lee Suet Fern kelihatannya menyediakan wasiat terakhir mendiang Encik Lee Kuan Yew dan mengaturkan untuk beliau menandatangani wasiat itu meskipun suaminya, Encik Lee Hsien Yang, ialah salah seorang penerima.

"Bahagian untuk Encik Lee Hsien Yang meningkat dalam Wasiat Terakhir. AGC juga sedia maklum bahawa Encik Lee Hsien Yang secara terbuka mengatakan bahawa draf Wasiat Terakhir itu disiapkan oleh Cik Kwa Kim Lee dari M/s Lee & Lee. Bagaimanapun, Cik Kwa Kim Lee menafikan beliau menyiapkan draf itu," tambah kenyataan tersebut.

Di bawah peraturan tatalaku profesional guaman, para peguam tidak dibenarkan meletakkan diri mereka dalam kedudukan yang menimbulkan konflik kepentingan, menurut AGC.

Dalam catatan Facebooknya, Encik Lee Hsien Yang berkata kenyataan AGC bahawa isterinya enggan menjawab dakwaan-dakwaan tersebut tidak benar.

"AGC harus mendedahkan seluruh surat-menyurat itu," katanya sambil mempersoalkan mengapa AGC mengambil langkah sekarang.

"Dari mula lagi, tiada sesiapa yang membuat aduan mengenai proses dan keadaannya ketika bapa kami menandatangani wasiat terakhirnya - bukan Lee Kuan Yew, atau pentadbir wasiat selepas kematiannya, bukan mana-mana penerima termasuk Lee Hsien Loong, yang dinasihati oleh Lucien Wong, yang kini Peguam Negara.

"Wasiat itu dibuktikan di mahkamah pada 2015 tanpa sebarang isu ditimbulkan; semua pihak bertindak menurut wasiat tersebut sejak itu," tambahnya.

"Kepentingan awam apakah yang ingin disampaikan oleh AGC di sini? Mengapa bazirkan sumber awam terhadap perkara peribadi dan selepas sekian lama? Mengapa AGC tergesa-gesa merujukkan kes ini pada tahun 2019 apabila fakta-fakta itu diketahui oleh semua pihak selama bertahun-tahun?"

Perkembangan terbaru ini berpunca daripada pertikaian berpanjangan antara Perdana Menteri Lee Hsien Loong dengan adik beradiknya, Encik Lee Hsien Yang dan Dr Lee Wei Ling mengenai rumah keluarga mereka di 38 Oxley Road dan persiapan wasiat terakhir mendiang Encik Lee Kuan Yew.

Pertikaian itu pertama kali diketahui umum pada 14 Jun 2017, apabila Encik Lee Hsien Yang dan Dr Lee Wei Ling mengeluarkan kenyataan menerusi Facebook yang menegaskan tentang hasrat bapa mereka supaya rumah itu akhirnya dirobohkan. 

Sumber : CNA/AI/ai
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan