Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih separuh kanak-kanak S'pura berdepan kandungan online tidak sesuai pada 2020

Kanak-kanak di Singapura berdepan dengan risiko yang lebih tinggi menemui kandungan online yang tidak sesuai dan juga maklumat "berlebihan" mengenai diri mereka sendiri di media sosial pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya, menurut hasil tinjauan yang dijalankan oleh Google.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih separuh kanak-kanak S'pura berdepan kandungan online tidak sesuai pada 2020

Gambar fail para pelajar menggunakan tablet. (Gambar: Damien Meyer/ AFP)

Diterbitkan : 09 Feb 2021 08:19AM Dikemas Kini : 09 Feb 2021 08:23AM

SINGAPURA: Kanak-kanak di Singapura berdepan dengan risiko yang lebih tinggi menemui kandungan online yang tidak sesuai dan juga maklumat "berlebihan" mengenai diri mereka sendiri di media sosial pada tahun lalu berbanding tahun sebelumnya, menurut hasil tinjauan yang dijalankan oleh Google.

Pembulian di alam siber juga lebih kerap berlaku di Singapura, dengan suku daripada ibu bapa yang ditinjau melaporkan bahawa anak mereka pernah dibuli online tahun lalu, lebih tinggi daripada Malaysia (22 peratus), Australia (21 peratus), Taiwan (18 peratus), Hong Kong (14 peratus) dan Jepun (10 peratus).

Kajian tahunan itu meninjau 3,445 ibu bapa di Asia dan Australia yang mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak yang berusia antara lima hingga 17 tahun. Seramai 315 ibu bapa ditinjau di Singapura.

HASIL TINJAUAN 2020:

Daripada para responden Singapura, lebih separuh (54 peratus) berkata bahawa anak-anak mereka menemui kandungan yang tidak sesuai, satu peningkatan yang ketara berbanding 38 peratus pada 2019.

Lagi 42 peratus berkata bahawa anak-anak mereka mengongsi maklumat yang berlebihan seperti data peribadi, berbanding 31 peratus pada 2019.

Singapura melaporkan jumlah insiden pembulian siber keempat tertinggi di rantau ini, dengan suku (25 peratus) ibu bapa melaporkan bahawa anak-anak mereka terkesan dengan insiden sedemikian. Perangkaan ini lebih tinggi berbanding purata Asia Pasifik yang mencatatkan 23 peratus.

Sekitar 35 peratus responden berkata anak-anak mereka mendapat perhatian yang tidak diingini daripada orang asing online, 14 peratus melaporkan anak-anak mereka menghadapi penipuan dan 12 peratus mengalami penggodaman.

MENGAPA PENTING

Trend kanak-kanak yang terdedah kepada bahaya online dan kandungan lucah bukanlah satu perkara baru, tetapi langkah-langkah seperti duduk di rumah ekoran pandemik COVID-19 menyebabkan lonjakan yang ketara pada jumlah kejadian sedemikian.

"(Penemuan ini) memang berasas kerana rakyat Singapura meluangkan lebih banyak masa online disebabkan oleh pandemik - dengan purata 3.6 jam setiap hari sebelum pandemik meningkat kepada sekitar 4.1 jam selepas tempoh pemutus rantaian jangkitan," jelas Google dalam kenyataannya. Tempoh pemutus rantaian jangkitan dikuatkuasakan antara April dan Mei tahun lalu.

Bagi kanak-kanak khususnya, ramai yang terpaksa belajar secara online. Sehubungan itu, Google menyatakan bahawa ini telah mendorong peraturan rumah yang lebih santai untuk menggunakan internet bagi tujuan pendidikan, sosial dan hiburan.

TINDAKAN IBU BAPA

Kajian itu turut mendapati bahawa 62 peratus ibu bapa di Singapura menjadi lebih prihatin terhadap kesejahteraan online anak-anak mereka semasa krisis kesihatan awam ini.

Namun, ibu bapa di Singapura adalah yang ketiga terburuk di rantau ini dari segi mengambil tindakan, seperti menggunakan ciri-ciri keselamatan keluarga dan kawalan ibu bapa, untuk melindungi keselamatan online anak mereka.

Satu daripada lima (20 peratus) responden berkata bahawa mereka tidak melakukan apa-apa untuk menangani keprihatinan berhubung keselamatan online. Hanya Australia (30 peratus) dan Jepun (41 peratus) bertindak lebih teruk berbanding Singapura.

Lebih sepertiga (37 peratus) tidak pernah berbincang dengan anak-anak mereka mengenai keselamatan online.

Di Singapura, kurang separuh daripada ibu bapa yang ditinjau menggunakan ciri-ciri seperti kawalan ibu bapa bagi YouTube atau SafeSearch Google.

Hasil tinjauan ini menunjukkan bahawa ibu bapa di Singapura yakin bahawa anak-anak mereka mampu melindungi diri mereka sendiri, tambah Google.

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan