Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih ramai terima habuan 'Meat-for-Eid' Jamiyah yang lebih muai tahun ini

Persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi 1,000 keluarga memerlukan kini lebih lengkap lagi dengan sumbangan dari Jamiyah.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Persiapan menyambut Hari Raya Aidilfitri bagi 1,000 keluarga memerlukan kini lebih lengkap lagi dengan sumbangan dari Jamiyah.

Selama dua hari bermula pagi tadi (16 Mei), Jamiyah datang mengetuk pintu rumah para penerima bantuan untuk mengagihkan habuan yang mengandungi bahan-bahan sajian.

Dengan habuan "Meat-for-Eid", mereka bahkan dapat menyiapkan lauk rendang!

"Kami memberikan agihan ini seminggu sebelum Hari Raya kerana ingin mereka meraikan Hari Raya bersama anak-anak, tanpa perlu membelanjakan wang kerana kesempitan," kata Pengarah Jabatan Mendekati dan Pembangunan Masyarakat Jamiyah, Encik Abdul Halim Aliman.

Di samping mengirimkan langsung habuan ke rumah para penerima bantuan di tiga kawasan kejiranan, agihan turut dijalankan di Kelab Masyarakat Taman Jurong dan West Coast.

JUMLAH PENERIMA NAIK, ISI KANDUNGAN HABUAN LEBIH BANYAK

Inisiatif Jamiyah yang dinamakan sebagai projek "Meat-for-Eid" sebenarnya sudah dijalankan sejak 2017.

Bagaimanapun, isi kandungan habuan kali ini lebih banyak daripada biasa. Selain dua kilogram daging dan dua ekor ayam, para penerima tersenyum dapat membawa pulang lima kilogram beras, satu paket perencah rendang dan empat keping prata sejuk beku.

Jumlah penerima tahun ini juga sekurang-kurangnya 10 peratus lebih tinggi di tengah-tengah krisis COVID-19.

"Pada saat-saat akhir bahkan ada 40 keluarga yang tampil kerana menghadapi kesulitan disebabkan COVID-19. Misalnya, ada yang memerlukan bantuan kerana anggota keluarga dibuang kerja," ujar Encik Abdul Halim.

40 peratus habuan "Meat-for-Eid" pula diagihkan kepada golongan memerlukan yang berlainan kaum dan agama demi menyebarkan lagi budaya bersedekah dan ukhwah dalam bulan yang mulia ini.

SEMPAT BERDEPAN CABARAN

Ada satu lagi kelainan pada usaha murni Jamiyah kali ini.

"Pada tahun ini agak berbeza daripada tahun-tahun lalu kerana dahulu kita adakan program ini sama ada di balai rakyat ataupun di kolong-kolong blok," jelas Encik Abdul Halim.

Pasukannya malah sempat kesulitan mencari tempat untuk melakukan pengagihan di kemudahan awam kerana langkah-langkah 'circuit breaker yang sedang berkuat kuasa.

Akhirnya, hanya dua pengagihan yang dapat dianjurkan di tempat awam, yang mana para penerima bantuan datang dan mengambil sendiri habuan "Meat-for-Eid".

Habuan bagi para penerima bantuan di Bukit Batok pula dikirimkan menggunakan khidmat penghantaran sementara habuan bagi para penduduk Punggol Coast dan Tanjong Pagar-Tiong Bahru dihantar oleh para relawan, termasuk dari Persatuan Rakyat. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan