Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih ramai keluarga diseru tampil jadi keluarga titipan bagi anak-anak Melayu/Islam

Menarik sehingga 30 keluarga setahun supaya memohon untuk menjadi keluarga titipan, selain merekrut sekitar 30 aktivis untuk program keluarga titipannya.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menarik sehingga 30 keluarga setahun supaya memohon untuk menjadi keluarga titipan, selain merekrut sekitar 30 aktivis untuk program keluarga titipannya.

Demikian antara matlamat awal yang digariskan Persatuan Muhammadiyah bagi program anak dan keluarga titipan kendaliannya.

Minggu ini (5 Sep) Persatuan Muhammadiyah dilantik sebagai agensi titipan nasional ke-5 di Singapura dan hari ini badan itu melancarkan Projek Sinar Ihsan bagi tujuan tersebut.

Mengulas pelantikan badan mapan itu selaku agensi titipan, Presidennya, Ustaz Muhammad Azri Azman berkata: "Pelantikan ini bermakna Muhammadiyah penuh dengan dedikasi untuk membantu anak-anak yang bermasalah dan ia juga menunjukkan keyakinan pihak pemerintah terhadap usaha-usaha yang Muhammadiyah lakukan."

Persatuan itu juga mengendalikan Rumah Kebajikan Muhammadiyah (MWH), iaitu rumah tumpangan yang menempatkan remaja lelaki antara usia 10 hingga 19 tahun.

(Gambar: BERITAmediacorp)

SERU MASYARAKAT BUKA HATI, BERI SINAR IHSAN

Ihsan digalas, ihsan dibalas.

Itulah cogan kata yang dipilih bagi Projek Sinar Ihsan, yang dilancarkan Menteri Negara Kanan Pertahanan merangkap Ehwal Luar, Dr Mohamad Maliki Osman, tengah hari tadi.

Ia melambangkan besarnya harapan Persatuan Muhammadiyah untuk masyarakat membuka hati mereka dan menebarkan sifat ihsan buat anak-anak dari keluarga kurang bernasib baik.

Menerusi projek itu, Persatuan Muhammadiyah akan menggembleng tenaga para aktivis untuk mendampingi masyarakat.

Mereka juga akan membantu menggalak keluarga-keluarga yang berkemampuan agar tampil menjadi keluarga titipan.

"Saya rasa ini adalah peluang baik di mana lebih ramai lagi keluarga-keluarga yang lebih mapan lebih stabil untuk menjadi satu ikon, sebagai satu peran contoh untuk keluarga-keluarga yang mempunyai masalah," kata Dr Maliki.

DIDIK MASYARAKAT PENTINGNYA SKIM JAGAAN TITIPAN

Dengan pelantikannya, Persatuan Muhammadiyah berazam untuk mendidik masyarakat supaya lebih memahami tentang pentingnya skim jagaan titipan demi membesarkan anak-anak dari keluarga bermasalah dalam sekitaran yang stabil.

"Harapan saya agar kita dapat mendekati keluarga-keluarga yang berkemampuan untuk menjadi ibu bapa titipan dan dengan mereka ikut serta dan menjadi ibu titipan bagi anak-anak ini mereka dapat memberikan apa yang kami namakan sebagai sinar ihsan," Ustaz Muhammad Azri Azman memberitahu BERITAmediacorp.

Persatuan Muhammadiyah sebenarnya dilantik sebagai agensi titipan berkuat kuasa 1 Ogos, namun hanya diumumkan secara rasmi pada Khamis (5 Sep) oleh Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF).

PENDAPATAN ISI RUMAH SEKURANG-KURANGNYA $2,000 ANTARA KRITERIA

Ia berharap dapat menjana kira-kira 30 permohonan setahun daripada masyarakat untuk menjadi keluarga titipan. Menurut persatuan itu, lazimnya sekitar lima keluarga daripada jumlah keseluruhan permohanan yang diterima akan memenuhi kriteria yang ditetapkan.

Yang pasti, kriteria ketat yang dinyatakan adalah demi menjaga kemaslahatan keluarga titipan dan juga anak yang dititipkan kepada mereka.

Antara kriteria tersebut termasuk, sudah berumah tangga dan mempunyai pendapatan isi rumah sekurang-kurangnya S$2,000 sebulan serta pendapatan per kapita (PCI) sekurang-kurangnya S$700.

Lantaran itu juga, Muhammadiyah akan mengadakan inisiatif pendidikan berkaitan keluarga titipan.

SESIAPA PUN BOLEH JADI AKTIVIS SINAR IHSAN

Inisiatif-inisiatif tersebut bakal dijalankan bersama dengan para Aktivis Sinar Ihsan. Buat masa ini, Persatuan Muhammadiyah sedang merekrut kira-kita 30 aktivis.

Penasihat Projek Sinar Ihsan, Dr Sharifah Mariam Aljunied memberitahu BERITAmediacorp, sesiapa sahaja yang berminat boleh menjadi aktivis bagi projek tersebut. Malah mereka akan dilatih.

"Kami mahu membina rangkaian aktivis. Aktivis Sinar Ihsan. Peranan aktivis ini mudah. Mereka adalah para sukarelawan yang akan mendamping para keluarga dan individu yang berminat untuk menjadi keluarga titipan," kata beliau.

Salah satu perancangan bagi program di bawah Projek Sinar Ihsan dalam jangka terdekat ini adalah sesi Bicara Hati Keluarga Titipan.

"Kami akan mulakan apa yang kami namakan Bicara Hati Keluarga Titipan. Ini adalah perbincangan secara intim yang akan kami adakan demi untuk memberi penerangan yang lebih terperinci tentang pengalaman dan juga cabaran dan juga kepuasan menjadi keluarga titipan. Jadi antara tugas para aktivis adalah untuk mengadakan acara Bicara Hati ini," dedah Dr Sharifah Mariam lagi.

Sesi pertama Bicara Hati Keluarga Titipan dijadual diadakan lewat tahun ini.

Mereka yang berminat untuk menjadi ibu bapa titipan atau bergiat sebagai aktivis boleh mendaftar di laman ini

Projek Sinar Ihsan di Wisma Geylang Serai itu dilancarkan semasa acara tahunan Pesta Keluarga dan Kebajikan, Rumah Kebajikan Muhammadiyah (RKM).

Ini merupakan kali pertama pesta itu diadakan di luar premis RKM.

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan