Images
  • dadah
    Penyalah guna dadah baru terus membentuk sebahagian besar jumlah keseluruhan penyalah guna dadah yang diberkas. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Lebih ramai diberkas salah guna dadah pada 2018; kebanyakan berusia bawah 30 tahun

SINGAPURA: Lebih ramai penyalah guna dadah kali pertama diberkas pada tahun lalu berbanding 2017, dengan sebahagian besar daripada mereka berusia bawah 30 tahun. Biro Narkotik Pusat (CNB) menyatakan demikian dalam satu kenyataan media hari ini (25 Feb).

Sejumlah 3,438 penyalah guna dadah diberkas pada 2018 - naik 11 peratus berbanding 3,091 yang diberkas pada tahun lalu.

Para penyalah guna dadah kali pertama terus membentuk sebahagian besar - iaitu sekitar 40 peratus - daripada jumlah keseluruhan penyalah guna dadah.

Daripada 1,366 penyalah guna dadah baru yang diberkas pada 2018, dua pertiga (64%) daripada mereka berusia bawah 30 tahun.

Selain itu, jumlah penyalah guna dadah berulang yang diberkas juga kian meningkat - naik dari 1,842 pada 2017 kepada 2,072 tahun lalu.

CNB menyifatkan peningkatan pada jumlah penyalah guna dadah yang diberkas kepada peningkatan jumlah penyalah guna bahan psikoaktif (NPS) dan methamphetamine.

"Penghasilan dan pengedaran dadah methamphetamine sudah meningkat ke paras yang membimbangkan, dan pasaran bahan psikoaktif baru juga kian berubah-ubah," menurut CNB.

Dadah yang dirampas pada 2018 dianggarkan bernilai sekitar S$6.65 juta.

Methamphetamine, dadah heroin dan NPS adalah tiga jenis dadah yang biasanya disalahgunakan pada 2018.

USAHA PENGUATKUASAAN CNB

Dengan kerjasama Pasukan Polis Singapura (SPF) dan Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA), CNB menjalankan 19 operasi di merata negara yang menyasarkan para pengedar dan penagih dadah.

"Kami melumpuhkan 26 sindiket dadah dan bekerjasama dengan agensi-agensi Home Team untuk melancarkan hampir 1,600 operasi yang menyasarkan para pengedar dan penyalah guna dadah di merata Singapura, termasuk di pusat pemeriksaan darat, udara dan laut bagi mencegah dadah daripada dibawa masuk ke negara ini," menurut Pengarah CNB, Ng Ser Song.

Situasi dadah di rantau ini tetap menjadi keprihatinan utama, menurut CNB sambil menambah bahawa penghasilan dan pengedaran dadah methamphetamine di Asia Tenggara meningkat ke paras paling tinggi pada 2018.

Biro itu melancarkan 19 operasi bersama dengan rakan-rakan antarabangsa bagi menangani kegiatan sindiket dadah yang merentasi sempadan.

PINDAAN PADA AKTA PENYALAHGUNAAN DADAH

CNB menarik perhatian bahawa pindaan yang dibuat ke atas Akta Penyalahgunaan Dadah (MDA) baru-baru ini menyenaraikan perbuatan yang memudahkan atau mempromosikan penggunaan dadah sebagai satu jenayah. Selain itu, perbuatan membahayakan seseorang, seperti mendedahkan seorang kanak-kanak kepada dadah atau peralatan dadah, serta membolehkan seorang individu muda untuk menyalahgunakan dadah, sebagai jenayah.

Ibu bapa para remaja yang diletakkan di bawah arahan penyeliaan CNB juga perlu menghadiri sesi-sesi kaunseling dengan anak mereka.

"Pindaan terhadap MDA juga memperkukuhkan usaha pemulihan bagi para penyalah guna dadah bagi menyediakan mereka dengan lebih banyak sokongan supaya tidak lagi terjebak dalam ketagihan dadah dan dapat berintegrasi semula dalam masyarakat," menurut CNB. 

"Mereka yang hanya menyalahgunakan dadah, tanpa berdepan dengan tuduhan-tuduhan lain yang didakwa secara serentak, boleh dirujuk untuk menjalani pemulihan jika mereka mengaku menyalahgunakan dadah.

"Para penyalah guna dadah yang berdepan dengan tuduhan lain akan didakwa dan boleh dijatuhi tempoh hukuman penjara yang panjang, jika perlu."

CNB sudahpun meningkatkan usaha mendampingi para belia bagi meningkatkan tahap kesedaran mengenai penyalahgunaan dadah, serta merangsang mereka supaya menjauhkan diri daripada dadah, dan membangunkan rangkaian belia bagi menyokong perjuangan menentang dadah. 

- CNA/AI/ai

Top