Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak usaha dipergiat bantu pesakit demensia, pengasuh

Lebih banyak sokongan untuk para pesakit demensia dan pengasuh mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih banyak sokongan untuk para pesakit demensia dan pengasuh mereka.

Usaha-usaha tersebut giat dilaksanakan memandangkan jumlah pesakit di Singapura dijangka meningkat tiga kali ganda menjelang 2030.

ATASI TANGGAPAN STIGMA TERHADAP DEMENSIA

Antara usaha yang sedang dijalankan adalah laman Facebook Chapal Malay Dementia Community yang dimulakan oleh ‘Anjang’ atau Encik Mohamad Rosli Abu Bakar – seorang pesakit Demensia Usia Muda.

Ia didorong tekadnya untuk mengatasi salah-tanggapan yang terus wujud seputar penyakit tersebut.

Malah, manfaat yang ditebarkan oleh kumpulan Facebook itu tidak terhad kepada dalam negeri. Ia meliputi pesakit dan pengasuh di Indonesia, Filipina dan Malaysia.

Salah seorang daripada mereka adalah Cik Sharifah Tahir dari Kuala Lumpur yang mengasuh ibu yang mengalami demensia.

Kumpulan Chapal banyak membantunya dari segi perkongsian ilmu dan sokongan emosi.

Menurut Cik Sharifah, advokasi seorang pesakit Demensia Usia Muda sangat berkesan.

"Inilah pertama kali yang kumpulan sokongan ini diketuai oleh orang yang hidup dengan demensia.

"Jadi Anjang itu dia memecahkan stigma yang orang hidup dengan demensia ini kena harap orang lain untuk jaga dia, tidak!" kongsi beliau.

Dalam pada itu, antara kegiatan kumpulan sokongan itu adalah pementasan lakonan, nyanyian dan tarian yang akan berlangsung pada November di Play Den, Arts House.

Usaha menyebar kesedaran tentang demensia tersebut akan menampilkan lakonan dua pesakit demensia, termasuk Anjang.

MANFAAT TEKNOLOGI, DAMPINGI PESAKIT

Sistem Kesihatan Universiti Nasional (NUHS) pula memanfaatkan telefon bijak dan khidmat pesanan Whatsapp dalam usaha terbarunya untuk membantu cegah demensia.

Ini berikutan sekatan pertemuan semuka terutama dengan warga emas.

"Caranya, dengan menghantar video senaman mudah dan sesuai, terapi muzik serta panduan kesejahteraan," terang Encik Abdul Rashid Ibrahim, sukarelawan dan jurulatih cegah demensia Program 'Age Well Everyday' (AWE) oleh NUHS di Kelab Masyarakat Tampines Changkat.

"Kita cuba gunakan telefon bijak, telefon bimbit. Dan pertama kali di dunia ada orang cuba ini and kita nak mulakan dengan masyarakat Melayu dari Tampines Changkat. Dan penduduk Melayu di Punggol nak ikut serta. Jadi itu yang bagus. Ramai orang cuba," kongsi Konsultan Psokiatri & Penasihat Pusat Sains Minda NUHS Profesor Kua Ee Heok.

Telefon bimbit percuma diberikan kepada warga emas yang tidak punya.

Selain usaha-usaha tersebut, Dementia Singapore juga melancarkan pusat sumber sehenti DementiaHub.SG yang bakal diluaskan kepada empat bahasa.

Dan buat permulaan, tiga masjid dijadikan tempat rujukan bagi pesakit demensia yang tersesat jalan. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan