Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak tokokan, ramai pencarum bawah 35 tahun simpan untuk persaraan: CPF

Lebih ramai orang membuat tokokan ke akaun Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka meskipun dalam keadaan ekonomi yang mencabar tahun ini. Ini termasuk mereka yang membuat tokokan untuk kali pertama dan golongan dewasa muda, yang kian meningkat. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 21 Oct 2020 03:00PM Dikemas Kini : 22 Oct 2020 12:13AM

SINGAPURA: Lebih ramai orang membuat tokokan ke akaun Tabung Simpanan Pekerja (CPF) mereka meskipun dalam keadaan ekonomi yang mencabar tahun ini. Ini termasuk mereka yang membuat tokokan untuk kali pertama dan golongan dewasa muda, yang kian meningkat.

Lembaga CPF dalam satu kenyataan media pada Rabu (21 Okt) menyatakan lebih 198,000 tokokan dibuat di bawah skim Tokokan Jumlah Persaraan antara Januari dengan September iaitu kenaikan 34 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Tokokan itu berjumlah sehingga S$1.81 bilion, naik sebanyak 23 peratus daripada tempoh sama tahun lalu.

Hampir 148,000 tokokan berjumlah S$1.47 bilion dibuat dalam tempoh antara Januari dengan September 2019.

Langkah-langkah itu diambil oleh para individu untuk menambah dana persaraan mereka di tengah-tengah keadaan ekonomi dan buruh yang mencabar, akibat wabak COVID-19.

Seperti banyak negara, ekonomi Singapura terjejas oleh pandemik COVID-19. Negara ini mengalami kemelesatan pada suku kedua selepas menjalani tempoh pemutus rantaian jangkitan selama hampir dua bulan.

Anggaran awal bagi data suku ketiga menunjukkan ekonomi Singapura bertambah baik sedikit selepas pembukaan semula ekonomi secara bertahap-tahap meskipun ia masih menguncup 7 peratus berbanding setahun lalu. Lebih banyak kehilangan pekerjaan juga dijangkakan sedang pandemik berlarutan.

"PENOKOK KALI PERTAMA"

Sepertiga daripada mereka yang membuat tokokan pada tiga suku pertama ialah penokok kali pertama, menurut CPF.

Ia mendapati bahawa dalam kalangan penokok kali pertama, semakin ramai daripada mereka berusia di bawah 35 tahun. Ini memberi isyarat bahawa "golongan dewasa lebih muda menghargai nilai menambah simpanan persaraan mereka dari awal".

“Dalam perbandingan antara tiga suku pertama tahun ini dengan tempoh sama pada 2019, kenaikan dalam jumlah penokok kali pertama berusia di bawah 35 tahun adalah lebih 70 peratus," dedah Lembaga CPF.

Tokokan di bawah skim Tokokan Jumlah Persaraan akan masuk ke dalam akaun-akaun Khas dan Persaraan, yang akan meningkatkan pembayaran bulanan kepada pencarum semasa persaraan mereka kelak.

Selain peningkatan dalam jumlah warga Singapura yang secara sukarela meletakkan lebih banyak simpanan ke dalam akaun-akaun CPF mereka, wang caruman yang dikeluarkan oleh anggota berusia 55 tahun ke atas juga merosot.

“Jumlah yang dikeluarkan secara keseluruhan berkurangan sebanyak hampir 20 peratus dalam tiga suku pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu," menurut CPF.

Individu yang membuat tokokan tunai layak bagi pelepasan cukai sehingga S$7,000 setahun jika mereka berbuat demikian untuk diri sendiri.

Mereka yang melakukan sedemikian untuk ibu bapa, ibu bapa mertua, datuk nenek, datuk nenek mertua, pasangan serta adik-beradik mereka pula layak bagi pelepasan cukai tambahan sehingga S$7,000 setahun. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan