Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak subsidi prasekolah, sedang S'pura naikkan perbelanjaan bagi pendidikan awal kanak-kanak

Perbelanjaan tahunan Singapura sekitar S$1 bilion bagi pendidikan awal kanak-kanak akan "naik lebih seganda" dalam masa beberapa tahun akan datang, sedang pemerintah berusaha untuk menjadikan prasekolah lebih dimampui untuk para ibu bapa di sini.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak subsidi prasekolah, sedang S'pura naikkan perbelanjaan bagi pendidikan awal kanak-kanak

Pemerintah akan meningkatkan bilangan tadika MOE daripada 15 kepada 50 dalam masa lima tahun akan datang. (Gambar: Koh Mui Fong)

Diterbitkan : 18 Aug 2019 10:30PM Dikemas Kini : 18 Aug 2019 10:37PM

SINGAPURA: Perbelanjaan tahunan Singapura sekitar S$1 bilion bagi pendidikan awal kanak-kanak akan "naik lebih seganda" dalam masa beberapa tahun akan datang, sedang pemerintah berusaha untuk menjadikan prasekolah lebih dimampui untuk para ibu bapa di sini.

Demikian menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong pada Ahad (18 Ogos).

Ini termasuk rancangan-rancangan untuk meningkatkan jumlah prasekolah yang disokong pemerintah kepada 80 peratus di masa hadapan.

Buat masa ini, hanya lebih separuh daripada tempat-tempat di prasekolah disokong pemerintah.

Sambil merujuk kepada tinjauan baru-baru ini oleh Cabang Wanita Parti Tindakan Rakyat (PAP), PM Lee berkata ibu bapa muda masih prihatin terhadap yuran prasekolah.

Beliau turut berkata beliau bersetuju dengan pendapat sebilangan Anggota Parlimen yang terlibat dalam tinjauan tersebut, bahawa "prasekolah seharusnya seperti perumahan dan jagaan kesihatan", yang mempunyai pilihan yang baik dan dimampui bagi semua rakyat Singapura.

"Bagi perumahan, kami mempunyai HDB. Bagi jagaan kesihatan, kami mempunyai hospital-hospital yang disusun semula," kata PM Lee.

"Begitu juga bagi prasekolah, kita harus mempunyai pilihan bermutu yang disokong pemerintah bagi semua rakyat Singapura," tambah beliau.

BANTUAN BAGI KELUARGA BERPENDAPATAN RENDAH

Subsidi prasekolah juga akan dinaikkan, umum PM Lee dalam ucapan Rapat Umum Hari Kebangsaan beliau.

Buat masa ini, keluarga-keluarga hanya layak menerima subsidi tambahan jika pendapatan bulanan mereka tidak melebihi S$7,500.

Bagi menawarkan lebih banyak bantuan kepada mereka yang berpendapatan rendah, had pendapatan akan dinaikkan kepada S$12,000 setiap bulan.

Ini akan memperluaskan subsidi tersebut kepada lagi 30,000 keluarga.

"Bagi para ibu bapa berpendapatan rendah, yuran prasekolah boleh membentuk sebahagian besar daripada perbelanjaan keluarga mereka, terutama sekali jika dua atau lebih ramai anak di peringkat prasekolah pada masa yang sama," kata beliau.

Kuantum subsidi prasekolah juga akan dinaikkan bagi semua, kata PM Lee.

Dalam ucapan beliau, PM Lee menarik perhatian kepada keluarga Low, iaitu keluarga berpendapatan pertengahan dengan dua anak, Kaylen dan Kyler, yang dimasukkan ke prasekolah yang disokong pemerintah.

Buat masa ini, keluarga Low tidak layak menerima subsidi tambahan dan membayar sekitar S$560 sebulan bagi pendidikan awal kanak-kanak bagi setiap anaknya.

Subsidi yang ditingkatkan akan mengurangkan sepertiga perbelanjaan prasekolah itu kepada sekitar S$370 sebulan, menurut PM Lee.

"Pada masa akan datang, apabila Kaylen dan Kyler masuk sekolah rendah, perbelanjaan keluarga itu akan semakin berkurangan," kata beliau, sambil menambah sekolah rendah hampir percuma dan walaupun jagaan pelajar selepas sekolah diperlukan, ia akan berjumlah S$300 setiap kanak-kanak.

Ini - ditambah yuran sekolah rendah dan yuran jagaan pelajar - adalah lebih rendah daripada perbelanjaan prasekolah keluarga, jelas PM Lee.

Inilah matlamat pemerintah bagi jangka sederhana.

"Pada jangka sederhana, kami bermatlamat mengurangkan perbelanjaan prasekolah kepada sekitar paras itu - kos sekolah rendah campur jagaan pelajar selepas sekolah," kata PM Lee.

"Kami memerlukan sedikit masa untuk mencapainya, tetapi kami sedang berusaha ke arah itu."

Beliau menambah: "Semoga dengan semua peningkatan ini, ibu bapa tidak lagi perlu lagi memikirkan prasekolah sebagai fasa mahal semasa membesarkan anak-anak mereka."

Sejak beberapa tahun lalu, PM Lee menarik perhatian kepada "perubahan besar" yang dibuat bagi meningkatkan pendidikan prasekolah di sini.

"Kami mahu bermula lebih awal dalam kehidupan kanak-kanak kerana tahun-tahun ini mewujudkan perbezaan ketara dalam pembangunan mereka," jelas PM Lee.

"Pendidikan prasekolah yang baik boleh menghasilkan perbezaan penting."

Selain memastikan tahap kemampuannya, usaha-usaha lain termasuk menaikkan seganda kapasiti prasekolah satu hari kepada hampir 180,000 tempat sejak 2012.

Prasekolah di sini juga sudahpun dinaik taraf, dengan pusat-pusat di kolong blok direka bentuk dengan lebih baik dan pusat mega seperti PCF Sparkletots di Punggol.

Jumlah tadika yang dikendalikan Kementerian Pendidikan - yang buat masa ini sebanyak 24 tadika- akan naik lebih seganda dalam masa beberapa tahun, manakala Institut Nasional Pembangunan Pendidikan Awal Kanak-Kanak (NIEC) akan memberi guru-guru prasekolah latihan dan tangga kerjaya lebih baik, kata PM Lee.

PELUASAN PROGRAM KidSTART

PM Lee pada Ahad juga mengumumkan peluasan program KidSTART kepada lagi 5,000 kanak-kanak dalam masa tiga tahun akan datang.

Inisiatif tersebut turut dirintis pada Julai 2016 dengan tujuan membantu 1,000 kanak-kanak daripada keluarga kurang bernasib baik.

"Kami sangat gembira dengan keputusannya, begitu juga para ibu bapa," kata beliau.

Meskipun manfaat khusus perlu dipantau selama beberapa tahun, "kita tidak boleh membuang masa lagi" bagi setiap kohort bayi yang baru.

Lantaran itu, pemerintah akan memperluaskan program tersebut dalam masa tiga tahun akan datang, sebelum mengkaji semula bagaimana ia dapat diperluaskan lagi, kata PM Lee.

Sumber : CNA/IM/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan