Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak sokongan bagi pesakit ginjal dalam memilih rawatan sesuai

Lebih banyak sokongan kini diberikan kepada para pesakit ginjal dalam membuat pilihan rawatan terbaik bagi diri mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 20 Oct 2018 03:20PM Dikemas Kini : 20 Oct 2018 10:19PM

SINGAPURA: Lebih banyak sokongan kini diberikan kepada para pesakit ginjal dalam membuat pilihan rawatan terbaik bagi diri mereka.

Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan (NKF) bekerjasama dengan Hospital Khoo Teck Puat sejak Mac lalu bagi memberi nasihat kepada para pesakit semasa mereka pertama kali disahkan menghidap penyakit itu.

Setakat ini, inisiatif tersebut sudah membantu 50 pesakit pradialisis.

DIALISIS DI RUMAH TIDAK HALANG HIDUP AKTIF

Pesakit seperti Cik Jade Hwa hari ini menjalani kehidupan yang aktif, sehinggakan orang awam mungkin tidak menyangka beliau sebenarnya menghidap penyakit buah pinggang.

Namun, keadaannya sebelum ini tidak sebaik sekarang. Ketika disahkan menghidapi penyakit itu pada 2013, Cik Hwa menunggu selama setahun sebelum memulakan rawatan kerana terperanjat serta kurang maklumat dan sokongan.

Beliau menjalani hemodialisis (HD) di mana darahnya dipam ke mesin untuk dibersihkan.

Namun sesi empat jam sekerap tiga kali seminggu itu sering membuatnya berasa letih.

Beliau akhirnya bertukar kepada kaedah dialisis peritoneal (PD) yang boleh dilakukan di rumah.

"Seandainya maklumat mengenai PD ini diberikan kepada saya ketika ingin membuat keputusan, ia akan dapat banyak membantu saya dan saya tidak perlu melalui pengalaman perit menjalani HD," kongsi Cik Hwa, 57 tahun.

GANDINGI HOSPITAL NASIHAT PESAKIT

Kes-kes seperti inilah yang mendorong NKF ingin membantu dalam menasihati para pesakit apabila mereka disahkan menghidapi masalah ginjal.

Untuk itu, pihaknya bekerjasama dengan Hospital Khoo Teck Puat (KTPH) bagi menjelaskan kepada para pesakit tentang kelebihan dan kekurangan setiap rawatan yang ada, termasuk dialisis, ubat-ubatan dan juga pemindahan ginjal.

Sebulan sekali NKF mengadakan bengkel dengan para pesakit ginjal baru di KTPH bagi menjawab segala pertanyaan dan kemusykilan mereka. Lawatan ke rumah-rumah juga dilakukan melibatkan pesakit yang "lebih berpengalaman" bagi membantu para pesakit baru memahami keadaan yang mungkin terjadi.

NKF sedang berusaha untuk melibatkan lebih banyak hospital dalam program itu.

Sumber : CNA/NT/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan