Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak masjid, badan Melayu/Islam digalak sertai inisiatif Jaga Kesihatan Jaga Ummah

Bukan sahaja lebih banyak masjid, tetapi lebih banyak badan-badan Melayu/Islam, Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), jawatankuasa M³ dan juga kelompok-kelompok jagaan kesihatan kini diundang supaya menyertai insiatif Jaga Kesihatan, Jaga Ummah (JKJU).

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Bukan sahaja lebih banyak masjid, tetapi lebih banyak badan-badan Melayu/Islam, Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC), jawatankuasa M³ dan juga kelompok-kelompok jagaan kesihatan kini diundang supaya menyertai insiatif Jaga Kesihatan, Jaga Ummah (JKJU).

Seruan itu dibuat Menteri Kedua Kesihatan, Masagos Zulkifli, dan juga Setiausaha Parlimen Kesihatan Rahayu Mahzam pada Selasa (16 Nov) di majlis penyampaian Anugerah JKJU.

Lembaga Penggalakan Kesihatan (HPB) memperkenalkan JKJU pada 2017 untuk memperkukuh penggalakan kesihatan dalam kalangan anggota masyarakat Melayu.

"Kita semua sebahagian daripada masyarakat yang lebih besar dan kita boleh menyumbang dalam cara-cara yang bermakna untuk menyokong matlamat nasional," kata Encik Masagos dalam ucapannya di majlis itu.

Ini menurutnya dapat membina Singapura yang lebih sihat dan bingkas.

(Gambar: HPB)

Dalam majlis itu Encik Masagos memberi pengiktirafan kepada masjid-masjid yang membuat sumbangan besar dalam aspek mempromosi kesihatan jemaahnya pada 2019 dan 2020.

Antara masjid yang memenangi anugerah masjid paling aktif menggalak kesihatan jemaah pada 2020 ialah masjid Alkaff Upper Serangoon.

JEMAAH LEBIH AKTIF BINCANG MENGENAI CARA JAGA KESIHATAN

Masjid itu berjaya melakarkan sesi-sesi aerobik yang dijalankan setiap minggu dengan sokongan HPB. Sesi tersebut antara lain disertai hampir 50 jemaah muslimah.

Ia kini mahu meluaskannya lagi kepada antara 100 hingga 200 peserta.

Apa yang saya perasaan tentang jemaah yang ada di masjid ini, mereka nampak lebih aktif dan mereka banyak berbincang cara-cara untuk menjaga kesihatan. Ini juga termasuk bagaimana mereka dapat membantu ahli keluarga mencapai kesihatan yang dikehendaki," kongsi Encik Kassim Kamis, pengerusi masjid itu.

Menurutnya lagi, beliau berbesar hati dengan sokongan yang diberikan oleh HPB yang menyediakan pelatih untuk mengetuai sesi-sesi aerobik ini.

Ternyata, kesan positif kepada para jemaah yang menyertai aktiviti ini masih berkekalan.

"Buat masa ini dengan keadaan COVID-19, mereka tidak dapat datang ke masjid tapi mereka masih melakukan senaman itu bersama keluarga dan dirumah. Jadi apa yang diajar itu amat berkesan," kata Encik Kassim yang sudah menjadi pengerusi masjid selama tiga tahun.

SESI ZUMBA GOLD DAN DEMONSTRASI MEMASAK MAKANAN SIHAT

Bagi Masjid An-Nur pula yang turut menerima anugerah masjid paling aktif dalam program kesihatan pada 2020, ia sudah menganjurkan pelbagai aktiviti gaya hidup sihat dengan kerjasama HPB. Ini termasuk sesi Zumba Gold, demonstrasi memasak makanan sihat serta pemeriksaan berfungsi untuk warga emas berusia 60 tahun ke atas.

Sesi berjalan cepat untuk kakitangan masjidnya, lawatan di pasar raya serta perbincangan mengenai nutrisi dan aktiviti fizikal turut dijalankan.

(Gambar: HPB) 

Menurut pengurus operasi masjid itu, Ustaz Mohammad Bahrul-Ulum Buang, setelah menjalankan aktiviti-aktiviti ini, beliau mendapati ramai jemaahnya yang mula menerapkan gaya hidup lebih sihat.

"Masya Allah pertama sekali, saya melihat kesannya kepada keluarga besar Masjid An-Nur yang lebih kerap mengadakan amalan gaya hidup sihat dengan bersenam seperti berlari-lari anak dan berjalan dengan pantas," kongsi Ustaz Bahrul-Ulum.

"Mereka juga lebih cergas dan positif dan mereka sekarang lebih memilih makanan-makanan sihat," tambahnya lagi.

Ustaz Bahrul-Ulum juga sudah melihat ramai jemaah yang sudah berhenti merokok selepas menyertai inisiatif "Puff for a Puff" yang menggalak perokok mengganti rokok mereka dengan epok-epok.

JEMAAH DAPAT SERTAI PROGRAM LEBIH TERBIMBING

Sejak Masjid Darul Makmur menyertai inisiatif JKJU pada Februari 2018, ia berpeluang mengikuti program-program dengan cara yang lebih terbimbing.

Ini termasuk sesi Zumba Gold yang dapat dianjurkan dengan sokongan para pelatih HPB untuk para kakitangan dan jemaah Muslimah.

Pada mulanya, masjid ini memang menganjurkan sesi bersenam untuk para jemaahnya tetapi ia tidak dilakukan secara kerap.

Namun, selepas menyertai inisiatif JKJU pada 2018, sesi-sesi seperti Zumba Gold dapat dijalankan setiap minggu.

"Saya mendapati kebanyakan daripada mereka sendiri sudah banyak bersenam dan beriadah secara bersendirian dan saya rasa itu merupakan satu perubahan yang positif," menurut pengerusi masjid tersebut, Encik Izuan Mohd Rais, mengenai keberkesanan program-program tersebut.

"Selain daripada itu, kita juga perasaan bahawa ramai juga yang kini dapat menunaikan solat dengan lebih baik kerana dapat bergerak dengan lebih cergas berbanding dahulu. Dengan adanya senaman-senaman yang dapat menguatkan otot-otot mereka, mereka dapat melakukan ibadah mereka dengan lebih baik lagi."

Selain itu, masjid tersebut juga menerapkan pemakanan sihat dalam kuliah atau syarahan yang dijalankan agar para jemaah dapat memahami mengenai gaya hidup sihat yang selari dengan ajaran Islam, menurut Encik Izuan lagi.

Bagi Masjid Maarof pula, ia turut menjalankan sesi-sesi Zumba Gold, manakala Masjid Al-Istighfar menjalankan sesi-sesi aerobik dan Piloxing.

BANGGA LEBIH BANYAK MASJID GALAK GAYA HIDUP SIHAT

Cik Rahayu Mahzam melahirkan rasa bangga terhadap peningkatan dari segi jumlah masjid-masjid di Singapura yang berusaha untuk menggalak gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat Melayu/Islam.

"Usaha ini adalah sesuatu yang kita harus dilakukan sebagai satu masyarakat memandangkan masjid-masjid adalah satu institusi yang amat dekat di hati masyarakat Melayu/Islam. Mereka memainkan peranan yang amat penting untuk menggalakkan masyarakat kita melakukan aktiviti-aktiviti yang lebih sihat seperti menjaga pemakanan mereka dan sebagainya," ujar Cik Rahayu.

Untuk terus merancakkan lagi program-program kesihatan dalam sektor masjid, lebih banyak anugerah akan dihulurkan, kata beliau.

"Pada tahun 2022, kita akan memperkenalkan lagi dua anugerah - Anugerah Penyokong Kesihatan dan Anugerah Rakan Kongsi Kesihatan yang kami harap dapat menggalakkan sedikit persaingan sihat dan menggalakkan lebih banyak lagi pelibatan daripada masjid-masjid kita dalam usaha JKJU ini," dedah Cik Rahayu.

"Saya juga mahu mengundang lebih banyak masjid, M³, Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu, badan-badan Melayu/Islam dan kelompok kesihatan kita supaya menyertai inisiatif JKJU, yang menawarkan akses kepada program-program menggalak kesihatan saling melengkapi."

Ini seperti bengkel-bengkel kesihatan mental secara maya, program berhenti merokok, pemeriksaan kesihatan, program nutrisi dan juga kegiatan-kegiatan jasmani. Semua kegiatan itu cuba mendekati lebih ramai lagi anggota masyarakat Melayu, kata beliau.

Secara keseluruhannya, lebih 38,500 jemaah menyertai pelbagai kegiatan berkaitan kesihatan anjuran masjid-masjid yang melaksanakan inisiatif JKJU sepanjang tahun 2019 dan 2020.

Perkembangan ini "suatu pencapaian besar", menurut Encik Masagos Zulkifli, yang juga merupakan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam.

JKJU diperkenalkan empat tahun lalu dengan penyertaan 15 masjid. Namun kini bilangannya naik lebih daripada seganda - ia disertai 32 buah masjid tempatan.

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan