Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak masa diperlukan untuk kerja kejuruteraan, waktu operasi kereta api mungkin disingkatkan

Lebih banyak masa diperlukan untuk menyenggara peralatan kereta api yang meningkat tua, menurut Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Nov 2017 05:36PM Dikemas Kini : 13 Nov 2017 10:49PM

SINGAPURA: Lebih banyak masa diperlukan untuk menyenggara peralatan kereta api yang meningkat tua, menurut Menteri Pengangkutan Khaw Boon Wan.

Ini hanya dapat ditangani "jika kita menyingkatkan waktu operasi kereta api," kata beliau hari ini (13 Nov).

Encik Khaw berkata demikian di Teknologi Kereta Api Masa Hadapan bagi Depot dan Kereta Api, yang diadakan di Depot Tuas West SMRT.

"Bekalan elektrik hanya salah satu daripada enam aset utama yang meningkat tua di Laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat yang perlu digantikan. Kami hanya melakukan dua saja (ranjang landas, rel ketiga), masih ada empat lagi yang perlu dilakukan (isyarat, bekalan kuasa, kereta api, litar kereta api). Inilah sebabnya mengapa kami memerlukan masa yang lebih panjang untuk kerja kejuruteraan. Ini hanya dapat dicapai jika kami menyingkatkan masa operasi."

Encik Khaw turut mendedahkan bahawa dengan siapnya Depot Tuas, ia membolehkan Laluan Utara-Selatan dan Timur-Barat untuk memperuntukkan kemudahan penyenggaraannya yang tersendiri.

Depot terbaru itu turut menempatkan pencawang baru, yang akan meningkatkan keupayaan rangkaian tenaga sebanyak 50 peratus.

"Buat masa ini, Laluan Utara-Selatan dan Laluan Timur-Barat mendapatkan bekalan tenaga daripada empat pencawang 66kV, di Buona Vista, Bishan, Stamford dan Yasin. Penggunaan tenaga pada waktu sibuk adalah sekitar 80 peratus daripada kapasiti rangkaian dan dijangka meningkat lagi 25 peratus dengan pembukaan Tuas West Extension dan selesainya kerja-kerja pemasangan sistem isyarat. Usaha mengurangkan kesesakan dalam kereta api memaksa kami untuk menambah kereta api baru, sekaligus meningkatkan kapasiti tenaga," jelas Encik Khaw.

"Depot Tuas terlewat 30 tahun, tetapi biar lambat asal selamat!"

Encik Khaw turut mengatakan bahawa beliau sudah menggesa Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) supaya menaik taraf depot kereta api dengan mutu yang lebih baik.

"Teknologi semakin canggih. Cara penyenggaraan juga sudah berubah dari pencegahan kepada model ramalan. Kita perlu membuat pelaburan dalam teknologi bagi meningkatkan keupayaan untuk berbuat demikian."

Antaranya adalah Sistem Pemeriksaan Kenderaan Automatik yang akan dipasang secara bertahap-tahap di semua depot.

Encik Khaw turut menambah bahawa sebuah lagi depot akan dibina di Mandai bagi Laluan Thomson-East Coast. 

Sumber : CNA/FA/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan