Images
  • saf
    (Gambar: TODAY)

Lebih banyak latihan SAF disambung semula, Mindef kurangkan kos tahun ini: Ng Eng Hen

SINGAPURA: Pandemik COVID-19, turut memberi kesan kepada kegiatan ketenteraan di negara ini.

Setelah berbulan-bulan digantung, Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) bersedia untuk menyambung semula latihan bagi anggotanya.

Dalam beberapa bulan akan datang lebih banyak latihan dalam kem akan disambung semula, manakala Ujian Kecekapan Jasmani Individu (IPPT), latihan persiapan IPPT dan latihan tambahan di pusat kecergasan bagi anggota kerahan Perkhidmatan Negara (NSmen) dijalankan semula secara berperingkat, kata Menteri Pertahanan Ng Eng Hen dalam satu wawancara online pada Khamis (25 Jun).

Kementerian Pertahanan (MINDEF) sebelum ini, mengirimkan pesanan teks kepada anggota NSmen bahawa latihan persiapan IPPT dan tambahan akan digantung hingga akhir Ogos.

Latihan Asas Tentera yang digantung pada April, sudah disambung semula pada 26 Mei.

Beberapa latihan di luar negara juga dijalankan semula, kata Dr Ng dalam wawancara itu yang diadakan menjelang Hari SAF yang jatuh pada 1 Julai.

Angkatan Tentera Laut Republik Singapura mengambil bahagian dalam latihan bersama dengan Angkatan laut Amerika Syarikat pada Mei lalu dan akan menyertai latihan berbilang pihak di Hawaii pada bulan depan.

Angkatan Udara Singapura pula sedang bekerjasama Australia untuk menyambung semula latihan penerbangan luar negara buat jangka pendek.

Di sebalik gangguan yang dihadapi oleh SAF sejak beberapa bulan ini, Dr Ng berkata operasi-operasi kritikal tidak terganggu, dengan unit-unit terus berfungsi sebagai satu sistem kelompok yang mana setiap unit kekal bekerja bersama dan tidak bercampur dengan unit-unit lain atau dengan orang lain.

"Anggota tentera kami menjalankan tugas kritikal, sama ada dalam mempertahakan negara, melindungi kemudahan utama, keselamatan maritim, pertahanan udara atau memerangi pengganasa,

Bagi memastikan mereka dalam keadaan baik sebelum mula beroperasi, mereka tinggal dalam kem kadang kala selama dua, tiga minggu dan mula beroperasi," kata Dr Ng.

Menurutnya, terdapat hanya satu kes jangkitan COVID-19 pada April lalu dalam kalangan ribuan anggota tentera yang menjalankan operasi kritikal.

KEMENTERIAN PERTAHANAN AKAN KURANGKAN KOS

Meskipun demikian, Dr Ng maklum bahawa di tengah-tengah kesan pandemik terhadap ekonomi, Mindef perlu mengurangkan kos pada tahun ini.

Kementerian itu lazimnya mempunyai peruntukan belanjawan paling tinggi berbanding kementerian lain, iaitu purata tiga hingga empat peratus hasil GDP negara. Belanjawannya tahun ini ialah sebanyak S$15.09 bilion, rendah sedikit berbanding S$15.5 bilion yang diperuntukkan pada tahun lalu.

"Mindef dan SAF mengambil langkah-langkah mengurangkan kos sejauh mungkin tanpa menjejas operasi kritikal, ataupun mengurangkan kemampuan jangka sederhana dan panjang SAF... namun saya rasa kami semua tahu kita harus mengurangkan kos tahun ini, dan mungkin pada tahun depan, sehingga ekonomi pulih," kata Dr Ng.

PENERIMAAN ASET TERTUNDA

Dr Ng juga berkata disebabkan oleh pandemik COVID-19, penerimaan beberapa aset akan tertunda.

Sejumlah helikopter Chinook-47F dan muatan sederhana H-225M, yang dijadualkan dihantar pada hujung tahun ini, akan hanya diterima pada tahun depan.

Selain itu, empat kapal selam kelas 218SG Invincible, yang dijadual dihantar mulai 2021, ditunda setahun.

Namun, penerimaan beberapa aset yang lain berlangsung mengikut jadual, kata Dr Ng. Ini termasuk empat pesawat F-35B dan pesawat yang mampu berlepas dan mendarat secara menegak yang akan tiba pada 2026, serta enam kenderaan Tempur Pelbagai Peranan (MRCV) yang dijadual dihantar menjelang 2030.

Menjawab pertanyaan berhubung sama ada tekanan belanjawan akan menjejas pemerolehan SAF, Dr Ng berkata SAF tidak akan membiarkan keupayaan strategiknya terjejas.

Menurut Dr Ng, pandemik COVID-19 bukan krisis global pertama yang dihadapi oleh Singapura, dan terdapat kejadian lain yang mana Mindef turut tertekan, seperti krisis kewangan global pada 2009.

LEBIH BANYAK LAPORAN MENGENAI KELEMAHAN PADA AMALAN KESELAMATAN

Memberi kemas kini berhubung audit yang dijalankan oleh Pejabat Ketua Inspektor (IGO), Dr Ng berkata ada "kemajuan yang ketara" dalam kejadian keselamatan serta kejadian "hampir berlaku".

IGO menguatkusakan amalan keselamatan di seluruh unit SAF. Ia ditubuhkan pada Februari tahun lalu berhubung kematian empat askar semasa latihan sepanjang tempoh satu setengah tahun.

Pada Mac tahun ini, Menteri Negara Kanan Pertahanan Heng Chee How memberitahu Parlimen bahawa IGO sudah mengaudit 70 peratus unit SAF sejauh ini, dengan pusingan pertama audit selesai dijalankan pada September.

SINGAPURA TIDAK HARUS DIPAKSA MEMILIH PIHAK

Secara berasingan, Dr Ng juga bercakap tentang bagaimana Singapura dan SAF perlu berdepan dengan ketegangan yang meningkat antara Amerika Syarikat dengan China.

Singapura, kata Dr Ng, tidak boleh mengelakkan kesan akibat ketegangan itu dan akan banyak terjejas dalam kedua-dua sektor perdagangan dan keselamatan.

Menurutnya, SAF perlu kekal waspada dan teguh untuk mempertahankan kedaulatan dan kepentingan negara.

"Kami tidak mahu terperangkap antara persaingan kuasa besar atau dipaksa untuk memilih pihak. Kami ingin menjadi berguna dan mesra kepada semua," kata Dr Ng.

Dr Ng menambah Singapura mahu bekerja dengan rakan kongsi yang bersefahaman baik di Asean dan juga di seluruh dunia bagi mempertahankan sistem global berdasarkan keterbukaan, hormat pada undang-undang antarabangsa dan tidak bersikap agresif.

- TODAY/HA/ha

Top