Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak lampu isyarat RAG akan dipasang di Upper Bukit Timah Road ekoran beberapa kemalangan

Lebih banyak lampu isyarat anak panah merah-jingga-hijau (RAG) akan dipasang di beberapa persimpangan Upper Bukit Timah Road menyusuli beberapa kemalangan yang berlaku, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih banyak lampu isyarat RAG akan dipasang di Upper Bukit Timah Road ekoran beberapa kemalangan

Gambar Google Street View jalan raya di luar kondominium Springdale.

Diterbitkan : 12 Feb 2019 01:57PM Dikemas Kini : 12 Feb 2019 02:00PM

SINGAPURA: Lebih banyak lampu isyarat anak panah merah-jingga-hijau (RAG) akan dipasang di beberapa persimpangan Upper Bukit Timah Road menyusuli beberapa kemalangan yang berlaku, kata Menteri Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam.

15 kemalangan berlaku di jalan raya itu antara 2017 dengan 2018 - lapan daripadanya melibatkan kenderaan yang membelok ke kanan atau membuat pusingan U, katanya dalam jawapan bertulis bagi soalan yang dikemukakan Anggota Parlimen Rahayu Mahzam pada Isnin (11 Feb).

Cik Rahayu ingin tahu berapa banyak aduan diterima tentang kenderaan yang dipandu secara laju di Upper Bukit Timah Road, khususnya pada sebelah malam di bahagian jalan di hadapan kondominium Springdale dan Southaven (I & II).

Beliau juga bertanya tentang jumlah kemalangan yang berlaku di kawasan itu.

Dalam jawapannya, Encik Shanmugam berkata, polis trafik menerima 14 panggilan dan surat daripada orang awam tentang kenderaan yang dipandu laju di Upper Bukit Timah Road.

Lapan kes berlaku pada sebelah malam, tetapi tiada satu yang melibatkan bahagian jalan di luar kondominium-kondominium tersebut, katanya.

Daripada 15 kemalangan yang berlaku di Upper Bukit Timah Road, hanya satu yang mungkin disebabkan kenderaan dipandu laju, tambahnya.

"Bagi membantu para pemandu membelok ke kanan dan membuat pusingan U dengan lebih selamat, LTA akan memasang lebih banyak RAG di persimpangan Upper Bukit Timah Road, termasuk sebahagian jalan di hadapan dua kondominium tersebut, menjelang akhir tahun ini," kata Encik Shanmugam.

KAMERA LAJU DIPASANG JIKA PERLU

Cik Rahayu juga bertanya tentang langkah yang akan diambil bagi mengekang tindakan memandu laju di kawasan itu dan sama ada kamera laju akan dipasang.

Encik Shanmugam berkata "papan tanda jelas" sudah dipasang di luar kondominium Springdale bagi mengingatkan para pemandu tentang had kelajuan.

Polis trafik akan terus melakukan operasi penguatkuasaan di kawasan itu secara tetap bagi mencegah para pemandu daripada memandu laju, katanya, sambil menambah, jika perlu, kamera laju juga akan dipasang di jalan itu.

Seorang lelaki berusia 25 tahun meninggal dunia pada Oktober lalu selepas keretanya merempuh penghadang dan sebuah pokok di Upper Bukit Timah Road.

Kemalangan berlaku pada jam 1.30 pagi, berdekatan kondominium Springdale.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan