Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak kawasan undi & tiada lagi GRC 6 anggota bagi pilihan raya seterusnya

EBRC menyarankan pembentukan 31 kawasan undi, iaitu lebih banyak berbanding 29 pada pilihan raya lalu. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 13 Mar 2020 04:37PM Dikemas Kini : 13 Mar 2020 11:38PM

SINGAPURA: Lebih banyak kawasan undi dan tiada lagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) enam anggota dalam pilihan raya umum akan datang.

Demikian menurut laporan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Semakan Kawasan Undi (EBRC) hari ini (13 Mac).

EBRC menyarankan pembentukan 31 kawasan undi, iaitu lebih banyak berbanding 29 pada pilihan raya lalu. Jumlah kerusi Parlimen yang diusulkan juga lebih tinggi iaitu sebanyak 93, lebih empat kerusi berbanding 89 yang ada sekarang.

Sebuah GRC baru akan diwujudkan, iaitu GRC Sengkang dengan empat kerusi, menjadikan jumlah GRC sebanyak 17, lebih satu berbanding 16 sekarang.

Anggota Parlimen (AP) bagi Kawasan Undi Perseorangan (SMC) juga dinaikkan kepada 14 orang berbanding 13 sekarang.

Pemerintah sudah menerima saranan-saranan EBRC dan akan melaksanakannya dalam pilihan raya akan datang.

Ini bermakna, pilihan raya akan datang, yang mesti diadakan sebelum awal April 2021, mungkin diadakan tidak lama lagi.

Langkah seterusnya adalah untuk Presiden Halimah Yacob untuk membubarkan Parlimen atas nasihat Perdana Menteri Lee Hsien Long.

Langkah itu diambil antara tempoh sehari dengan lebih dua bulan daripada tarikh laporan EBRC dikeluarkan, seperti yang berlaku dalam pilihan raya-pilihan raya sebelum ini.

Pada 2015, laporan EBRC dikeluarkan pada 24 Julai, sebulan sebelum parlimen dibubarkan. Hari Mengundi pula ditetapkan pada 11 September 2015.

SMC & GRC BARU

Empat kawasan undi SMC yang baru diwujudkan, iaitu di Kebun Baru, Marymount, Punggol West dan Yio Chu Kang. Tiga SMC yang sudah digugurkan adalah Fengshan, Punggol East dan Sengkang West.

Dua kawasan undi di bawah Parti Pekerja (WP) - iaitu GRC Aljunied dan SMC Hougang - dikekalkan.

Daripada 17 GRC, enam akan mempunyai empat anggota dan 11 dengan lima anggota. GRC enam anggota - iaitu Ang Mo Kio, Pasir Ris-Punggol - dikurangkan kepada lima anggota.

GRC East Coast dan GRC West Coast, yang buat masa ini mempunyai empat AP, akan mendapat lima kerusi.

Baki GRC dengan lima anggota adalah Aljunied, Jurong, Marine Parade, Nee Soon, Sembawang, Tampines dan Tanjong Pagar.

GRC Bishan-Toa Payoh, yang sekarang mempunyai lima AP, akan dikurangkan kepada empat kerusi.

Termasuk GRC baru, iaitu GRC Sengkang, GRC-GRC lain dengan empat anggota adalah Chua Chu Kang, Holland-Bukit Timah, Jalan Besar dan Marsiling-Yew Tee.

KAWASAN UNDI 2020

Apabila EBRC ditubuhkan tahun lalu, Jabatan Pilihan Raya (ELD) menyatakan, ia diminta untuk mengurangkan saiz purata GRC dan membentuk lebih banyak SMC.

Dalam pilihan raya akan datang, 79 calon akan bertanding bagi merebut kerusi GRC, menjadikan jumlah puratanya 4.65 AP bagi setiap GRC.

Ini lebih kecil berbanding 4.75 AP bagi setiap GRC dalam Pilihan Raya Umum 2015 dan lima AP bagi setiap GRC pada 2011.

Jumlah itu paling tinggi dalam Pilihan Raya Umum 2001 dan 2006, dengan purata 5.36.

Pada 2015, sebahagian besar GRC - iaitu lapan - mempunyai lima calon, manakala enam GRC mempunyai empat anggota setiap satu. Hanya dua GRC yang mempunyai enam anggota setiap satu - iaitu Ang Mo Kio dan Pasir Ris-Punggol.

Sistem GRC ditubuhkan pada 1988 bagi memastikan kaum-kaum minoriti diwakili dalam Parlimen.

GRC boleh mempunyai antara tiga dengan enam AP dan sekurang-kurangnya seorang daripada mereka mesti datang daripada kaum minoriti. Selain itu, jumlah GRC dengan AP Melayu tidak boleh melebihi 60 peratus daripada jumlah keseluruhan GRC.

LEBIH RAMAI PENGUNDI SEJAK 2015

EBRC, iaitu jawatankuasa yang terdiri daripada lima pegawai kanan Perkhidmatan Awam, mengambil masa lapan bulan untuk mengeluarkan laporannya sejak ia ditubuhkan
pada bulan Ogos.

Bagi setiap pilihan raya, jawatankuasa itu akan mengambil kira pertumbuhan penduduk dan peralihan yang disebabkan oleh pembinaan kawasan perumahan baru.

Jumlah pengundi dalam Daftar Pengundi terkini, iaitu setakat sehingga 15 April 2019, adalah 2,594,740. Ini adalah peningkatan 134,256 pengundi berbanding 2,460,484 pengundi yang layak pada 7 April 2015.

Pada Rabu (11 Mac) Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berkata penularan COVID-19 di Singapura akan menjadi "faktor utama" dalam menentukan sama ada Pemerintah akan mengadakan pilihan raya.

Semasa berucap di perbincangan yang dianjurkan oleh Straits Times dan Business Times, Encik Heng berkata pilihan raya perlu diadakan sebelum April tahun depan. Maka itu kita "tidak boleh tersasar daripada tempoh yang ditetapkan".

"Apa yang kita perlu lakukan adalah mewujudkan keadaan-keadaan yang membolehkan kita untuk menangani situasi sebaik mungkin. Berdasarkan perkembangan global, saya rasa penularan virus ini mungkin akan berlarutan," kata Encik Heng.

Ia mungkin lebih mencabar dalam masa beberapa bulan mendatang untuk Pemerintah menangani COVID-19, tetapi "kita mesti berupaya untuk memberikan respons yang sebaiknya sebagai sebuah negara dan rakyat yang bersatu padu," tambah Encik Heng. 

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan