Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih banyak flat sewa HDB ditawarkan kepada keluarga yang tunggu flat BTO

Lebih banyak flat sewa akan ditawarkan untuk menyokong keluarga-keluarga yang sedang menunggu flat BTO mereka untuk siap dibina.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 03 Aug 2021 12:52PM Dikemas Kini : 03 Aug 2021 09:30PM

SINGAPURA: Lebih banyak flat sewa akan ditawarkan untuk menyokong keluarga-keluarga yang sedang menunggu flat BTO mereka untuk siap dibina.

Demikian menurut Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) hari ini (3 Ogos).

Had pendapatan sebanyak S$7,000 turut akan diperkenalkan bagi mereka yang membuat permohonan di bawah Skim Perumahan Sementara Keibubapaan (PPHS) mulai esok (4 Ogos).

Dalam satu kenyataan media, HDB menyatakan 800 flat tambahan akan diperuntukkan dalam tempoh dua tahun akan datang - hampir dua kali ganda melebihi bekalan 840 flat sedia ada di bawah skim itu.

"Bekalan flat tambahan akan dapat lebih menyokong keluarga yang memerlukan rumah sementara, ketika mereka menunggu flat BTO untuk siap," menurut HDB.

Sejak 2020, permintaan bagi rumah sewa sementara bagi keluarga yang sedang menunggu flat BTO meningkat dengan ketara, menurut HDB. Jumlah permohonan naik hampir dua kali ganda kepada 2,350 pada 2020, berbanding 1,370 pada tahun sebelumnya.

Untuk memberi sokongan lebih baik kepada para pembeli flat yang terjejas oleh penangguhan dalam kerja-kerja binaan, HDB menyatakan ia akan menambah bekalan flat untuk disewakan di bawah PPHS.

Daripada 800 flat tambahan itu, sekitar 200 akan siap pada 2021 dan ia akan dibuka bagi permohonan secara bertahap-tahap mulai suku keempat tahun ini.

"Flat-flat tambahan ini termasuk flat-flat yang dikosongkan di tapak-tapak yang sedang menjalani Skim Pembangunan Semula Yang Terpilih Secara Berkelompok (SERS), flat-flat tidak terjual dan mungkin apartmen kakitangan yang kosong di beberapa politeknik yang sedia ada buat sementara."

HAD PENDAPATAN S$7,000 BAGI FLAT SEWA PPHS

Dalam kenyataannya, HDB menyatakan bahawa ia juga akan "memperhalusi" syarat-syarat kelayakan dan proses peruntukkan bagi skim itu mulai esok untuk memberi keutamaan kepada keluarga yang lebih memerlukan rumah sementara.

Ini kerana bekalan flat kekal terhad meskipun setelah HDB menambah bekalan flat PPHS, tambah HDB.

Had pendapatan S$7,000 juga akan diperkenalkan bagi permohonan flat sewa sedemikian.

"Flat-flat PPHS diberikan subsidi tinggi dan had pendapatan dapat memastikan bahawa flat-flat itu diperuntukkan kepada mereka yang kurang mampu untuk menyewa sebuah flat daripada pasaran terbuka," menurut HDB.

Keutamaan akan diberikan kepada pasangan yang mempunyai anak berusia 18 tahun dan ke bawah, termasuk pasangan yang bakal menimang cahaya mata.

HDB menarik perhatian bahawa meskipun jumlah pemohon bagi flat PPHS meningkat sejak 2020, sekitar separuh daripada pemohon yang kemudian dipelawa untuk memilih flat tidak berbuat demikian.

Ini mungkin disebabkan oleh beberapa sebab termasuk kecenderungan lokasi, menurut HDB.

"Namun, ini juga menunjukkan bahawa tidak semua pemohon mempunyai keperluan mendesak bagi perumahan sementara dan ada yang boleh meneruskan dengan aturan perumahan sedia ada untuk beberapa ketika," ia menambah.

Bagi membolehkan para pemohon dengan keperluan perumahan lebih mendesak untuk mendapatkan flat dengan lebih cepat, mereka yang tidak memilih flat setelah dipelawa sebanyak dua kali perlu menunggu selama setahun daripada tarikh tidak membuat pemilihan itu sebelum mereka boleh memohon bagi flat PPHS sekali lagi.

FLAT DITAWARKAN SEKALI SETIAP DUA BULAN

Sesi PPHS akan dijalankan sekali setiap dua bulan, berbanding setiap bulan.

HDB menyatakan pengumpulan flat sepanjang dua bulan akan membolehkan para pemohon untuk memilih daripada bekalan flat yang lebih banyak.

Ini juga meningkatkan peluang para pemohon untuk mendapatkan flat dalam setiap sesi pemilihan dan mengurangkan keperluan membuat permohonan berkali-kali.

Mulai sesi seterusnya pada Oktober 2021, para pemohon mempunyai tempoh 14 hari untuk menghantar permohonan yang membolehkan HDB memproses permohonan mereka lebih awal.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan