Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 90% unit ditempah di bawah skim Tawaran Semula Baki Flat pertama HDB

Sekitar sembilan daripada 10 flat yang ditawarkan di bawah Tawaran Semula Baki Flat atau ROF pertama pada tahun 2017 sudah ditempah oleh para pembeli.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Feb 2018 03:07PM Dikemas Kini : 24 Feb 2018 09:09PM

SINGAPURA: Sekitar sembilan daripada 10 flat yang ditawarkan di bawah Tawaran Semula Baki Flat atau ROF pertama pada tahun 2017 sudah ditempah oleh para pembeli.

In dimumkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) hari ini (24 Feb).

Sebanyak 1,300 unit sudah ditempah di bawah ROF, daripada hampir 1,400 flat (1,394) yang ditawarkan.

Pertama kali diperkenalkan pada bulan Ogos 2017, skim Tawaran Semula Baki Flat itu bertujuan membantu pasangan muda segera mendapatkan rumah pertama mereka.

Khususnya, untuk membantu mereka dengan keperluan mendesak atau tidak begitu cerewet tentang lokasi dan ciri-ciri rumah untuk segera mendapatkan flat.

Skim ini ditawarkan dengan mengumpulkan semua baki flat yang tidak terjual dalam sesi-sesi penjualan sebelumnya dan ditawarkan semula kepada pembeli.

Sekurang-kuranya 95 peratus bekalan flat diketepilan bagi keluarga yang membuat permohonan buat kali pertama manakala baki sehingga lima peratus pula bagi pemohon kali kedua.

Sesi pemilihan flat diadakan pada bulan Januari tahun ini, dengan lebih 90 peratus flat ditempah.

Daripada jumlah itu, sekitar tujuh daripada 10 unit ditempah oleh keluarga yang memohon buat kali pertama.

Menurut para penganalisis ROF akan terus mendapat permintaan kukuh disebabkan masa menunggu yang lebih singkat berbanding flat-flat Bina Ikut Tempahan (BTO).

"Semasa ROF sebelum ini pada bulan Ogos, 71 peratus unit siap dibina. Ini bermakna, sesiapa yang menempah unit tersebut boleh mengambil kunci dalam tempoh tiga hingga empat bulan selepas itu, dengan potongan harga 20 hingga 30 peratus berbanding unit jualan semula di estet kejiranannya.

"Maka jelas sekali ia lebih berpatutan khususnya bagi mereka yang ingin segera mendapatkan flat dan pada harga yang lebih murah. Lantaran itu flat-flat ROF sentiasa popular dan kita boleh menjangkakan permintaan tinggi bagi flat-flat sedemikian," kata CEO PropNex, Ismail Gafoor.

Sekalipun demikian, seorang penganalisis mengatakan lokasi flat dan ciri-cirinya masih penting bagi sebahagian pembeli rumah.

"Sekilas pandang, tempahan sebanyak 90 peratus memang amat bagus. Namun kita mesti ingat, semasa sesi pertama ROF ditutup pada bulan Ogos tahun lalu kadar permohonannya sekitar 4.4 kali ganda.

"Ini kerana apabila seseorang pembeli membuat permohonan bagi sebuah flat ROF, mereka tidak boleh memilih lokasinya. Mereka hanya membuat permohonan dan diberikan nombor. Hanya setelah menerima nombor mereka akan ditawarkan flat-flat ROF yang ada dalam senarai. Bagi sesetengah orang mungkin tiada flat yang menepati ciri-ciri yang diinginkan dan disebabkan itu mereka menolak peluang tersebut," kata Pengarah Eksekutif ZACD Group, Nicholas Mak.

Sehingga hujung bulan Januari lalu, sekitar satu daripada lima pembeli rumah sudahpun mengambil kunci flat baru mereka.

ROF seterusnya akan dibuka pada bulan Ogos 2018.

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan