Images
  • hajat one
    Solat hajat yang dijalankan di Masjid Ba'alwie. 

Lebih 800 jemaah dirikan solat hajat di Masjid Ba'alwie, minta dilindungi dari COVID-19

SINGAPURA: Antara 800-900 jemaah melakukan solat hajat hari ini (14 Jan) meminta agar Singapura terlindung di tengah-tengah penularan COVID-19.

Solat hajat yang berlangsung di Masjid Baalwie itu dijalankan selepas solat Jumaat.

Ia dipimpin dan diimamkan oleh suami Presiden Halimah Yacob, iaitu Encik Mohamed Abdullah Alhabshee.

Solat hajat itu secara umumnya memohon agar masyarakat di sini dipelihara daripada sebarang penyakit yang tidak diingini, khususnya virus COVID-19.

"Masalah wabak atau penyakit ini melanda satu dunia, dan termasuk Singapura juga, tadi kita di Masjid Baalwie kita sembahyang hajat, beramai-ramai dan kita doa semoga Singapura jauh dari wabak ini," kata Encik Mohamed Alhabshee semasa diwawancara BERITAmediacorp.

Beliau turut diiringi beberapa pemimpin masyarakat termasuk Setiausaha Parlimen Kanan Ehwal Dalam Negeri merangkap Kesihatan Encik Amrin Amin, Imam Masjid Ba’alwie, Syed Hassan Al-Attas, mantan mufti negara, Shaikh Syed Isa Semait, Anggota Parlimen Dilantik Encik Mohamed Irshad serta Konsul Khas Oman Encik Anwar dan timbalannya, Encik Yasir.

"Kita doa, jadi agama-agama yang lain juga mereka juga begitu prihatin mereka mengambil berat dan kita bekerjasama," kongsi beliau lagi.

AMRIN: PENYAKIT ADALAH WABAK SEJAGAT

Selepas solat hajat tersebut para pemimpin agama Islam turut disertai para pemimpin pelbagai agama termasuk Sikh, Kristian, Buddha, serta Hindu untuk berdoa beramai-ramai dengan niat yang sama. 


Encik Amrin berkata acara seperti itu secara tidak langsung menepis tanggapan bahawa COVID-19 ada kaitannya dengan agama, sebaliknya ia merupakan satu wabak sejagat yang tidak mengenal agama, bangsa mahupun kewarganegaraan.

"Pertama, penyakit ini tidak kenal agama, bangsa, dan kerakyatan, jadi kita sama-sama tidak kira agama mendoakan kesejahteraan semua.

"Kedua, apabila kita buat solat hajat itu kita sebagai orang Muslim mendoakan semua tidak agama dan bangsa, ini mencerminkan nilai murni agama islam kita di mana kita diajar untuk memberi pertolongan kepada semua tidak kira agama, tidak kira bangsa," tekannya.

Lantaran itu, di saat genting ini Encik Amrin mengajak masyarakat supaya bersatu dan membantu antara satu sama lain memerangi penularan virus COVID-19.

Lebih penting lagi menurutnya adalah untuk mengelakkan daripada sentimen berbaur negatif tentang perkauman.

"Jadi, ada yang mungkin keraguan bahawa ada ajaran-ajaran agama yang mungkin memberi atau berpandangan serong kepada mereka yang beragama lain atau bangsa lain, jadi saya harap acara hari ini dapat benar-benar menunjukkan ajaran Islam yang sebenarnya dan mengajak kita berbuat baik tidak kira agama dan bangsa," kata beliau lagi.

Beliau menambah, ini adalah peluang keemasan di mana masyarakat Islam dapat menunjukkan kekuatan perpaduan masyarakat dan bersama-sama menentang penyakit tersebut.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Google dan langgani saluran Telegram kami bagi perkembangan terkini virus korona COVID-19: https://t.me/BERITAmediacorp 

- BERITAmediacorp/UR/ha

Top