Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 80 pelajar madrasah terima komputer riba diperbaharui hasil kerjasama SG Bono dan MUIS

Sebanyak 83 penuntut madrasah daripada keluarga berpendapatan rendah menerima komputer riba yang diperbaharui. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sebanyak 83 penuntut madrasah daripada keluarga berpendapatan rendah menerima komputer riba yang diperbaharui.

Ini menerusi satu kerjasama MUIS dengan badan sukarelawan SG Bono bagi mempermudahkan para pelajar tersebut untuk membuat tugasan sekolah secara online dan mengikuti pembelajaran di rumah.

Lapan daripada kumpulan pelajar itu menerima komputer riba diperbaharui mereka hari ini (31 Ogos) dalam satu acara yang berlangsung di Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah.

Menurut Timbalan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS), Kadir Maideen Mohamed, masalah kekurangan komputer riba ini lebih ketara apabila para pelajar perlu mengikuti pembelajaran di rumah (HBL).

Madrasah-madrasah setempat mengendalikan HBL sekurang-kurangnya satu kali setiap penggal sekolah bagi membolehkan para pelajar dan guru menyesuaikan diri dengan pembelajaran online.

"Dengan kekurangan komputer riba, kami memerlukan bantuan daripada masyarakat dan masyarakat juga sudah banyak membantu dengan mendapatkan komputer riba tetapi masih ada lagi kekurangan," ujar Encik Kadir.

"Dengan itu, kami langsung bekerjasama dengan IMDA yang menghubungkan kami dengan SG Bono," tambah beliau lagi.

Encik Kadir berbesar hati atas kerjasama ini kerana ia bermakna buat para pelajar yang akan mendapat komputer riba secara percuma itu dan tidak akan lagi menghadapi masalah mengikuti pembelajaran secara online.

LENGKAPI PENUNTUT MADRASAH DENGAN KEMAHIRAN TEKNOLOGI

Setakat ini, SG Bono sudah mengagihkan 40 komputer riba diperbaharui kepada penuntut Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah,Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah dan Madrasah Al-Maarif Al-Islamiah.

Selain memperbaharui komputer riba dan memberikannya kepada pelajar yang memerlukan, SG Bono juga merancang untuk melengkapi para pelajar madrasah dengan kemahiran asas teknologi.

"Memandang ke hadapan, kami akan cuba dan melihat sama ada kami boleh melatih beberapa sukarelawan dan penuntut madrasah untuk melakukan kerja-kerja pembaikan asas teknologi bagi, seperti para pelajar yang juga sudah menerima komputer riba diperbaharui daripada kami," kata Cik Felicia Seah, anggota Jawatankuasa Eksekutif SG Bono.

Antara yang menerima komputer riba mereka hari ini ialah pelajar Menengah 3 Madrasah Al-Arabiah Al-Islamiah, Nur Herlyn Marsha.

TUJUH BERADIK KONGSI SATU KOMPUTER RIBA

Jika sebelum ini, Nur Herlyn perlu berkongsi komputer riba dengan lagi enam adik-beradiknya, kini lebih mudah baginya untuk melakukan tugasan sekolah dan menghadiri kelas secara online dengan komputer ribanya sendiri.

"Kalau di rumah hanya ada satu sahaja komputer riba jadi susah untuk dipakai kerana perlu dikongsi. Kadangkala kami perlu menggunakannya pada masa yang sama pula," kongsi Nur Herlyn, yang merupakan anak keempat.


(Gambar: BERITAmediacorp/Nazirah Jamzuri)

Nur Herlyn memang berharap untuk mempunyai komputer ribanya sendiri tapi kedudukan kewangan keluarganya tidak mengizinkan.

Bapanya bertugas sebagai seorang pemandu Grab dan ibunya pula bekerja sebagai Pegawai Pengurusan Keselamatan di dormitori pekerja hijrahan bagi menyara tujuh anak mereka.

Sewaktu HBL, Nur Herlyn juga berdepan dengan lagi satu cabaran iaitu mencari ruang dalam rumah dua biliknya untuk memberi tumpuan kepada kelas-kelas online.

Kini, dengan pemberian komputer riba oleh SG Bono, pelajar berusia 15 tahun itu berasa lega dan gembira.

Ini kerana beliau tidak lagi perlu menunggu giliran untuk menggunakan komputer riba bagi menghabiskan kerja sekolahnya yang perlu dilakukan secara online.

"Terima kasih kerana memberikan saya komputer riba ini kerana ia sangat bermanfaat untuk saya," ujar Nur Herlyn.

PASTIKAN TIADA YANG KETINGGALAN

Menteri Negara Perhubungan dan Penerangan merangkap Pembangunan Negara, Tan Kiat How yang turut hadir di acara pengagihan rasmi komputer riba hari ini (31 Ogos) menyifatkan usahasama SG Bono dan MUIS ini sebagai sesuatu yang sangat bermakna.

"Ini benar-benar semangat gerakan Digital untuk Kehidupan, menyatukan pihak korporat, pertubuhan-pertubuhan, individu-individu dan agensi-agensi pemerintah agar semua orang boleh meraih manfaat daripada teknologi digital dan kami tidak tinggalkan sesiapa di belakang," ujar Encik Tan.

(Gambar: MUIS) 

(Gambar: MUIS) 

Namun bagi Encik Tan, memberi akses digital melalui pemberian komputer riba ini hanyalah satu detik permulaan.

"Kami ingin memastikan anak-anak muda kami dapat meneroka alam maya dengan selamat dan ini sebabnya mengapa kami membawa rakan-rakan kongsi lain bersama bagi gerakan Digital untuk Kehidupan untuk bekerjasama dengan MUIS dan madrasah-madrasah untuk membimbing para pendidik dan pelajar mengenai kecelikan dan kesejahteraan digital," kongsi Encik Tan.

Komputer-komputer riba diperbaharui yang diagihkan SG Bono merupakan hasil sumbangan korporat dan para individu.

Orang ramai yang mahu mendermakan komputer riba terpakai mereka boleh melakukannya di beberapa lokasi termasuk Kelab Masyarakat Kampong Chai Chee, Fengshan, Siglap dan Bedok.

Selain pelajar madrasah, SG Bono juga membantu para pelajar lain daripada keluarga kurang bernasib baik, yang memerlukan komputer riba bagi tujuan pembelajaran.  

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan