Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 700 bakal jemaah sudah daftar, pilih pakej haji

Lebih 700 warga Singapura yang ditawarkan oleh MUIS untuk menunaikan haji tahun ini sudah mendaftar dan memilih pakej-pakej haji.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih 700 warga Singapura yang ditawarkan oleh MUIS untuk menunaikan haji tahun ini sudah mendaftar dan memilih pakej-pakej haji.

Presiden Ejen-Ejen Pelancongan Islam Singapura (AMTAS) Ustaz Tengku Fouzy Jumat berkata baki jemaah yang belum berdaftar dengan GSA terpilih dijangka selesai berbuat demikian menjelang hujung bulan ini.

Ustaz TM Fouzy menambah, MUIS sedang mengeluarkan surat-surat kelulusan bagi para jemaah yang membuat rayuan untuk pergi haji tahun ini.

TIDAK DAPAT TUNAIKAN HAJI BERSAMA SEKELUARGA

Cik Rafizah Yusoff sekeluarga sudah mendaftar dengan MUIS untuk pergi haji bersama-sama tetapi dengan kuota yang terhad, hanya ibu dan neneknya yang terpilih untuk mengerjakan haji tahun ini.

"Kami sekeluarga membuat rayuan Disember lalu, sejumlah lapan orang merayu tetapi Selasa lalu MUIS telefon dapat berita ibu dan nenek saja yang lulus permohonan rayuan. Tapi sedih sebab, kalau boleh, kami semua nak pergi bersama," kata Cik Rafizah.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp)

Mereka merupakan antara 900 bakal jemaah haji Singapura yang akan menunaikan rukun Islam kelima tahun ini.

KUOTA ADA RUANG TETAPI HAMPIR PENUH

Namun setakat ini belum semua kuota haji Singapura tahun ini dipenuhi.

"Saya difahamkan pihak MUIS sedang bergiat untuk sempurnakan 900 kuota itu untuk para bakal jemaah haji, sebelum akhir bulan April ini. Sekarang ini kuota hampir penuh tetapi masih ada ruangnya," kongsi Presiden AMTAS Ustaz Tengku Mohd Fouzy Jumat.

Bagi para jemaah haji kali kedua, Encik Zakaria Mohd Yaacob dan isteri pula, mereka mematuhi syarat MUIS tentang bila boleh mendaftar lagi setelah pertama kali naik haji pada 2002.

"2012 kami kira dah 10 tahun kami lekas-lekas ke MUIS untuk membuat pendaftaran dan kami diberitahu perlu tunggu lima tahun. Sampai, Alhamdulilah, 2019 diberitahu kuota saya diluluskan," ujar Encik Zakaria Mohd Yacob.

Ini bermakna Encik Zakaria telah menunggu sejak 2002 iaitu 17 tahun untuk menunaikan ibadah haji buat kali kedua.

PROGRAM UNTUK PERSIAPKAN JEMAAH HAJI

Berbeza dengan keadaan 17 tahun lalu, apabila kedudukan khemah jemaah Singapura adalah sekitar 200 meter dari tempat jamrah, sekarang pula, para jemaah haji perlu berjalan sekurang-kurangnya enam kilometer ulang-alik untuk mengerjakan ibadah melontar.

Oleh sebab itulah, para bakal jemaah haji Singapura juga perlu membuat persiapan jasmani selain rohani.

Menurut Pengarah Urusan Shahidah Travel Ayoob Angullia: "Di tanah air menerusi program gerak jalan, kami sudah sediakan. Tiap-tiap minggu jemaah kita digalakkan ikuti program ini yang disokong HPB (Lembaga Penggalakan Kesihatan), kita buat cara jalan yang betul."

Kumpulan pertama jemaah haji Singapura bakal berlepas ke tanah suci pada pertengahan bulan Julai. 

Sumber : BERITA Mediacorp/AA/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan