Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 600 peserta raih manfaat Program Bijak Belanja MENDAKI SENSE sejak 2018

Selain program Bijak Belanja MENDAKI SENSE, MUIS juga bekerjasama dengan MoneySense untuk perkenal komponen perancangan kewangan menerusi Projek ARIF Yayasan Temasek tahun depan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Lebih 600 peserta meraih manfaat daripada Program Bijak Belanja kelolaan MENDAKI SENSE sejak dua setengah tahun lalu.

Program tersebut mendampingi keluarga-keluarga muda dan berpendapatan rendah untuk memperkasakan mereka dengan kemahiran menguruskan kewangan.

Demikian perkembangan yang dikongsi Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli pada Isnin (5 Jul) dalam jawapannya di Parlimen hari ini, kepada soalan yang diajukan oleh Anggota Parlimen Dilantik Dr Shahira Abdullah.

Dr Shahira bertanya tentang kadar penyertaan masyarakat Melayu/Islam dalam program-program pengurusan kewangan dan aset yang tersedia serta apakah inisiatif-inisiatif terkini yang ada untuk mendidik masyarakat Melayu/Islam mengenai kaedah pelaburan dan perancangan kewangan yang dibenarkan.

Antara contoh yang diketengahkan Encik Masagos dalam jawapannya adalah program MoneySense, iaitu program pendidikan kewangan bertujuan meningkatkan celik kewangan dalam kalangan rakyat Singapura.

Encik Masagos berkata: "MoneySense bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) untuk menyertakan topik-topik pengurusan kewangan dalam program-program persediaan perkahwinan. Ini termasuk pasangan Muslim yang menghadiri program bimbingan rumah tangga 'Cinta Abadi' di mana mereka mempelajari cara untuk membuat perancangan jangka panjang dengan membuat penamaan CPF dan Surat Kuasa Berkekalan (LPA).

INISIATIF MASYARAKAT LENGKAPI PROGRAM NASIONAL

Di samping itu, inisiatif-inisiatif masyarakat juga menurut Encik Masagos, melengkapi program-program nasional untuk menyokong masyarakat Melayu/Islam, termasuk keluarga muda dan mereka yang baru bernikah.

Encik Masagos berkata bahawa komponen perancangan kewangan dijangka akan diterapkan dalam program di bawah Projek ARIF Yayasan Temasek, iaitu program yang dikhususkan bagi pasangan yang baru mendirikan rumah tangga.

Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) kini dalam perbincangan bersama MoneySense mengenai komponen tersebut yang dijangka bakal dilaksanakan pada tahun depan, menurut Encik Masagos.

Dalam pada itu, Encik Masagos berkata bahawa panduan agama juga diberikan kepada masyarakat Melayu/Islam mengenai perkara-perkara yang berkaitan dengan perancangan kewangan dan harta pusaka.

"MUIS telah mengeluarkan peraturan keagamaan atau fatwa untuk memberi panduan kepada masyarakat dalam perancangan atau membuat keputusan berkaitan harta pusaka mereka," ujar Encik Masagos.

Antaranya, menurut Encik Masagos, Fatwa Hibah Syarikat Amanah Keperluan Khas (SNTC) membolehkan sesuatu amanah itu dibuat untuk tanggungan yang kurang upaya demi memastikan kesejahteraan masa depan mereka selepas tiada penjaga yang masih hidup.

ADA INISIATIF UNTUK KELUARGA LEBIH DEWASA?

Dalam soalan susulannya kepada Encik Masagos, Dr Shahira menanyakan jika program-program untuk keluarga lebih dewasa yang mungkin tidak begitu mahir menggunakan teknologi, akan dipertimbangkan.

Encik Masagos mengatakan bahawa masalahnya bukan tentang kekurangan program tetapi bagaimana untuk memastikan program-program ini dapat dimanfaatkan golongan yang paling memerlukannya.

Kadangkala ini memerlukan cara yang kreatif, menurut Encik Masagos.

Encik Masagos memberi contoh sebuah acara yang dianjurkan Peguam@M3 untuk berkongsi dan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang perancangan kewangan dan harta pusaka.

Pihak penganjur dikatakan menjemput seorang ustaz dan selebriti untuk menyertai panel bagi membincangkan hal tersebut secara santai.

Acara itu berjaya menarik lebih 600 peserta dan ada di antara mereka sempat berjumpa dengan para peguam yang ada bagi mengajukan sebarang soalan selepas acara itu.

Encik Masagos berkata program seperti itu akan diperluaskan lagi dan berharap lebih banyak program sedemikian dapat dianjurkan apabila lebih ramai orang dibenarkan berkumpul pada masa akan datang. 

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan