Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 6,000 karton rokok tidak dibayar cukai dirampas di Woodlands, 5 ditahan

Lima orang ditangkap dan lebih 6,000 karton rokok tidak dibayar cukai dirampas di Kastam Singapura di sebuah bangunan perusahaan di Taman Perusahaan Woodlands.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 6,000 karton rokok tidak dibayar cukai dirampas di Woodlands, 5 ditahan

(Gambar: Kastam Singapura)

Diterbitkan : 06 Sep 2021 11:21AM Dikemas Kini : 06 Sep 2021 11:29AM

SINGAPURA: Lima orang ditangkap dan lebih 6,000 karton rokok tidak dibayar cukai dirampas di Kastam Singapura di sebuah bangunan perusahaan di Taman Perusahaan Woodlands.

Agensi itu menyatakan pada Isnin (6 Sep) cukai dan GST yang dielakkan masing-masing berjumlah sekitar S$516,490 dan S$41,430.

Pada 2 September, Kastam Singapura mendapati kotak-kotak dipindahkan dari sebuah lori berdaftar di Singapura ke tempat pemunggahan bangunan tersebut.

"Mengesyaki bahawa kotak-kotak itu mengandungi rokok tidak dibayar cukai, para pegawai melakukan pemeriksaan dan mendapati 1,120 karton rokok tidak dibayar cukai di dalam lori itu," kata Kastam Singapura.

Tiga lelaki warga Singapura dan seorang wanita Malaysia diberkas.

Pemeriksaan ke atas sebuah lagi lori berdekatan yang berdaftar di Singapura menemui lagi 4,928 karton serupa.

Orang kelima yang ditangkap dalam operasi itu adalah pemandu sebuah lori berdaftar di Malaysia. Lori itu disyaki telah digunakan untuk menghantar rokok ke bangunan perusahaan itu.

"Dia ditangkap di Pusat Pemeriksaan Tuas ketika cuba meninggalkan Singapura," menurut agensi itu.

Sebanyak 6,048 karton rokok tidak dibayar cukai disita, bersama dua lori kotak berdaftar Singapura dan satu lori berdaftar di Malaysia.

Siasatan sedang dijalankan.

"Kami harap kerjasama pemilik premis perusahaan agar berhati-hati dan berwaspada terhadap individu serta kegiatan mencurigakan, untuk mengelak premis mereka daripada disalahgunakan," kata penolong ketua pengarah (Perisikan dan Siasatan) agensi itu, Yeo Sew Meng.

Membeli, menjual, menghantar, menyimpan, memperoleh atau berurus niaga barangan yang tidak dibayar cukai adalah kesalahan berat di bawah Akta Kastam dan Akta GST, tegas Kastam Singapura.

Mereka yang disabitkan kesalahan boleh didenda hingga 40 kali nilai cukai dan GST yang dielakkan, dipenjara sehingga enam tahun atau kedua-duanya.

Kenderaan yang digunakan untuk melakukan kesalahan sedemikian juga boleh dirampas. 

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan