Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 500 pelajar ikuti program OBS di Coney Island

Lebih 500 pelajar menyertai kegiatan-kegiatan di kampus sementara Outward Bound Singapore (OBS) di Coney Island sejak ia dibuka Januari lalu.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 500 pelajar ikuti program OBS di Coney Island

Gambar fail para pelajar di Coney Island. (Gambar: OBS/ Facebook)

Diterbitkan : 28 Jul 2018 05:43PM Dikemas Kini : 28 Jul 2018 05:47PM

SINGAPURA: Lebih 500 pelajar menyertai kegiatan-kegiatan di kampus sementara Outward Bound Singapore (OBS) di Coney Island sejak ia dibuka Januari lalu.

Kawasan sementara di Coney Island itu merupakan antara tapak perkhemahan terbaru di bawah program OBS. Tapak tersebut dihubungkan ke tanah besar dengan dua jambatan.

"Bagi Pulau Ubin dan mungkin tapak perkhemahan lain, anda perlu menaiki bot. Ini tidak sama bagi tapak perkhemahan di Coney Island. Para pelajar boleh meneroka warisan Singapura tanpa perlu bersusah payah untuk ke hulu ke hilir dengan menaiki bot," kata Encik Ko Sihan, seorang jurulatih OBS.

Tapak perkhemahan di Coney Island dilengkapi dengan kemudahan-kemudahan asas seperti tempat memasak dan platform-platform kayu di mana para pelajar boleh mendirikan khemah. Kawasan sementara itu ditempatkan di sebahagian tapak perkhemahan OBS baru yang belum siap seluas antara 10 hingga 12 hektar.

Dalam kem-kem induk OBS, para pelajar yang mengambil bahagian berpeluang untuk mengikuti aktiviti-aktiviti menarik di sepanjang laluan penghubung taman dan dekat dengan perairan.

Buat masa ini, OBS mempunyai lapan tapak perkhemahan termasuk di East Coast, Sengkang dan Yishun.

Dengan tapak perkhemahan yang sedia ada di Pulau Ubin dan kampus yang baru di Coney Island, OBS akan berupaya melatih 45,000 pelajar setiap tahun, iaitu tiga kali jumlah pelajar yang dilatih sebelumnya bagi setiap tahun.

OBS pertama kali ditubuhkan pada 1967 dan ia bermatlamat membina "masyarakat lasak" bagi memastikan Singapura mampu bertahan sekiranya apa-apa berlaku.

Pada awalnya, ia disasarkan kepada remaja lelaki sebelum mereka menjalani Perkhidmatan Negara (NS). Namun, program OBS kemudian diubah suai bagi para pemimpin pelajar.

Mulai 2020, semua pelajar menengah tiga akan berpeluang untuk menimba pengalaman "lasak" OBS. Mereka akan mengambil bahagian dalam kem selama lima hari di bawah Pelan Induk Pendidikan Kegiatan Luar Nasional yang dibentangkan pada 2016.

Sejak Januari 2017, sekitar 14,000 pelajar mengambil bahagian dalam program tersebut. Jumlah pelajar akan dinaikkan secara bertahap-tahap dengan hampir 8,000 pelajar mengikut serta pada separuh pertama tahun ini, berbanding 6,000 pelajar pada tahun lalu.

59 dari 155 sekolah menengah berdaftar di bawah program tersebut.  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan