Images
  • ng
    Encik Ng Chee Meng. (Gambar: Darius Boey)

Lebih 50 syarikat sudah naikkan usia persaraan dan ambil semula pekerja secara sukarela

SINGAPURA: Lebih 50 syarikat sudah secara sukarela menaikkan usia persaraan dan pengambilan semula pekerja mereka menjangkaui ketetapan undang-undang, kata setiausaha agung NTUC Ng Chee Meng pada Khamis (15 Ogos).

Sebelum ini beliau telah menggesa para majikan di sini untuk berbuat demikian dan respons yang diterima adalah "agak baik", kata ketua tenaga buruh itu dalam satu wawancara bersama Mediacorp, sambil menambah bahawa para pekerja juga "amat menghargai langkah-langkah itu".

NTUC menyatakan pada Julai bahawa sekitar 20 syarikat sama ada menaikkan usia persaraan atau tidak menetapkan usia persaraan untuk para pekerja mereka. Syarikat-syarikat itu termasuk Taman Di Pesisiran, Novotel Clarke Quay Singapore dan ComfortDelGro Group.

Encik Ng menggesa para majikan berbuat demikian sedang perikatan tiga pihak mengkaji sejauh mana dan secepat mana usia persaraan dan pengambilan semula pekerja masing-masing patut dinaikkan menjangkaui 62 dan 67 tahun.

Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo berkata pada Mac bahawa para wakil dari Pemerintah, majikan dan kesatuan sudah mencapai keputusan berkenaan keperluan meningkatkan kedua-dua usia. Ditubuhkan pada Mei lalu, kumpulan kerja itu mengkaji isu tersebut dan kesan kadar sumbangan CPF terhadap keperluan persaraan pekerja lebih berusia.

Perkembangan lanjut akan diumumkan menjelang September, menurut Cik Teo.

- CNA/NA/na

Top