Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 50,000 panggilan diterima talian kesihatan mental National CARE sejak April 2020

Sehingga hujung Ogos lalu, talian National CARE yang memberi sokongan bagi mereka yang berdepan dengan isu kesihatan mental, menerima lebih 50,000 panggilan sejak dilancarkan pada April tahun lalu.  

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Sehingga hujung Ogos lalu, talian National CARE yang memberi sokongan bagi mereka yang berdepan dengan isu kesihatan mental, menerima lebih 50,000 panggilan sejak dilancarkan pada April tahun lalu.

Talian itu antara inisiatif bagi menangani kesan COVID-19 terhadap kesihatan mental para penduduk negara ini.

(Gambar: PPIS)

Webinar kesihatan mental anjuran PPIS dan Berita Harian. (Gambar: PPIS)

Presiden Halimah Yacob berkongsi perangkaan itu dalam satu webinar tentang kesihatan mental anjuran Persatuan Pemudi Islam Singapura (PPIS) dan Berita Harian pagi tadi (2 Okt).

Menurut beliau, tiga keprihatinan utama para pengguna talian itu adalah berkaitan dengan sokongan emosi, isu berkaitan kesihatan mental dan masalah keluarga atau sosial.

Selain itu, Puan Halimah juga menyentuh tentang kewujudan stigma sosial berhubung kesihatan mental dan betapa pentingnya bagi orang ramai menggalak golongan yang terjejas untuk mendapatkan rawatan.

"Setiap orang mempunyai peranan dalam keadaan kesihatan mental kita secara keseluruhan," ujar Puan Halimah.

"Kita boleh mempersoal label yang diberi secara proaktif. Kita boleh mengadakan lebih banyak wacana tentang isu kesihatan mental. Kita boleh belajar mendengar tanpa membuat penilaian sendiri atau menawarkan penyelesaian," tambahnya lagi.

Seperti kesejahteraan fizikal, Puan Halimah berkata usaha membina daya tahan mental juga perlu dimulakan dari usia muda dan merupakan satu usaha sepanjang hayat.

KESAN COVID-19 TERHADAP KESIHATAN MENTAL

Kesan pandemik COVID-19 terhadap kesihatan mental merupakan antara perkara yang dibincangkan dalam webinar bertajuk 'Be Kind To Your Mind' ini.

(Gambar: PPIS)

(Gambar: PPIS)

Ini termasuk cabaran yang dihadapi keluarga, ibu bapa tunggal, para belia dan wanita yang perlu mengimbangi pelbagai tanggungjawab pada masa yang sama.

Selain meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kesihatan mental, webinar ini juga bertujuan menggalak lebih banyak penglibatan sosial bagi membina masyarakat yang lebih baik untuk semua.

Barisan panel yang dijemput termasuk Ketua Pekerja Sosial Pusat Khidmat Keluarga (Barat), Nasriah Nasir dan Pengarah Alwafa, Ustazah Nadia Hanim.

Mereka turut berkongsi tip bagi menangani cabaran kesihatan mental serta menjawab soalan para peserta berhubung isu tersebut.

Lebih 70 orang menyertai webinar tersebut yang diadakan sempena sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia pada minggu depan (10 Okt).

Turut menyertai sesi ini adalah Editor Berita Harian, Saat Abdul Rahman dan Presiden PPIS Hazlina Abdul Halim.

LEBIH RAMAI IBU BAPA PROAKTIF JAGA KESIHATAN MENTAL ANAK

Dalam ucapannya, Cik Hazlina menarik perhatian bahawa lebih ramai ibu bapa kini proaktif dalam menjaga kesihatan mental anak-anak mereka.

Menurutnya, Akademi SYM PPIS melihat satu peningkatan dari segi jumlah ibu bapa yang tampil ke hadapan untuk mempelajari lebih lanjut mengenai khidmat kaunseling dan psikoterapi bagi kanak-kanak.

"Ini adalah tanda baik - kami gembira lebih ramai ibu bapa sudah pun meningkatkan usaha untuk mengambil berat terhadap kesejahteraan mental kanak-kanak," kata Cik Hazlina.

Menurutnya lagi, golongan yang sudah bercerai atau berpisah juga lebih berkemungkinan mengalami Gangguan Episod Kemurungan Major (MDD), gangguan bipolar dan gangguan mental.

"Untuk menangani isu-isu ini sebagai satu masyarakat, mari kita mulakan dengan menggalak dan mengalu-alukan perbincangan terbuka dan jujur seperti yang diadakan hari ini agar kita dapat lebih memahami cabaran-cabaran yang kita hadapi sebagai satu masyarakat," ujar Cik Hazlina.

"Ia adalah okey untuk tidak berasa okey. Namun yang paling penting, bantuan adalah okey. Mari kita saling membantu mengambil langkah pertama terhadap pemulihan," tambahnya lagi.

Selain usaha seperti webinar tersebut, PPIS juga akan melancarkan satu kempen mengumpul dana dipanggil #RecovHer, untuk menyokong wanita yang memerlukan bantuan bagi kesihatan mental mereka bagi kesejahteraan mental.   

Sumber : BERITA Mediacorp/nj
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan