Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 5,500 jemaah banjiri bangunan baru Masjid Darul Ghufran bagi solat Jumaat pertama

5,500 jemaah membanjiri Masjid Darul Ghufran di Tampines pada hari pertama bangunan barunya dibuka tengah hari tadi (22 Mac).

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 5,500 jemaah banjiri bangunan baru Masjid Darul Ghufran bagi solat Jumaat pertama

Solat Jumaat pertama Masjid Darul Ghufran sejak jalani kerja naik taraf (Gambar: Ira Musfirah/BERITAmediacorp)

SINGAPURA: Lebih 5,500 jemaah membanjiri Masjid Darul Ghufran di Tampines pada hari pertama bangunan barunya dibuka tengah hari tadi (22 Mac).

Jemaah pertama tiba seawal 9.30 pagi bagi menyaksikan upacara perwakafan serta menunaikan solat Jumaat pertama di masjid tersebut.

Mufti Negara Dr Mohd Fatris Bakaram menjalankan upacara perwakafan di bangunan baru Masjid Darul Ghufran yang menjalani kerja peningkatan pada 2016.

Turut hadir bagi menyaksikan pembukaan semula masjid ini, termasuklah Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, Masagos Zulkifli dan Ketua Eksekutif Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) Esa Masood.

Pengerusi Masjid Darul Ghufran, Abdul Matin Mirza Abdul Majid menarik perhatian tentang sifat kesabaran dan perpaduan para jemaah dan masyarakat Islam untuk membangunkan suatu mercu tanda keagamaan yang dapat dinikmati bersama.

"Semoga solat Jumaat pertama ini menjadi lambang akan hasil kerjasama seluruh masyarakat Islam Singapura dan sokongan padu masyarakat," kata Encik Abdul Matin.

Solat jenazah ghaib turut didirikan selepas solat Jumaat bagi 50 jemaah yang terkorban dalam serangan pengganas di Masjid Al-Noor dan Masjid Linwood di Christchurch, New Zealand tepat seminggu lalu pada 15 Mac.

Mufti Negara dalam khutbahnya berkata: "Peristiwa ini juga mengingatkan kita kehancuran yang boleh berlaku jika pandangan yang tidak toleran terhadap perbezaan atau kebencian terhadap orang lain dibiarkan begitu sahaja.

"Bagi kita umat Islam, adalah tanggungjawab kita untuk memelihara minda dan jiwa agar syaitan tidak berjaya memasukkan api kebencian serta permusuhan terhadap mereka yang berbeza dari kita."

Bangunan baru Masjid Ghufran berdiri setinggi lima tingkat dan boleh menampung 5,500 jemaah, lebih 40 peratus berbanding sebelum ini.

Sumber : BERITA Mediacorp/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan