Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 450,000 alat jejak kontak akan diagihkan kepada pekerja asing, tempatan

Lebih daripada 450,000 alat menjejak kontak akan diagihkan kepada semua pekerja asing dan tempatan yang tinggal atau bekerja di dormitori, serta dalam sektor binaan, limbungan marin dan pemprosesan, menurut pihak berkuasa pada Jumaat (16 Okt).

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 450,000 alat jejak kontak akan diagihkan kepada pekerja asing, tempatan

(Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 16 Oct 2020 10:45PM Dikemas Kini : 16 Oct 2020 10:47PM

SINGAPURA: Lebih daripada 450,000 alat menjejak kontak akan diagihkan kepada semua pekerja asing dan tempatan yang tinggal atau bekerja di dormitori, serta dalam sektor binaan, limbungan marin dan pemprosesan, menurut pihak berkuasa pada Jumaat (16 Okt).

Token-token itu, jika dibawa bersama pekerja pada setiap masa, akan bantu mengurangkan sebarang gangguan dalam pekerjaan mereka jika terdapat kes COVID-19 yang dikenal pasti kerana hanya kontak-kontak rapat yang akan diasingkan, menurut pihak berkuasa.

Ia akan diagihkan secara berperingkat mulai 18 Okt dan dijangka selesai menjelang awal November, kata Kementerian Tenaga Manusia (MOM) dalam satu kenyataan bersama Penguasa Bangunan dan Binaan (BCA) dan Lembaga Kemajuan Ekonomi (EDB).

Alat yang dikenali sebagai token BluePass, itu akan diagihkan oleh Kumpulan Jaminan, Penjagaan dan Pendampingan atau ACE di bawah Kementerian Tenaga Manusia (MOM), dengan kerjasama Kumpulan Negara Bijak dan Pemerintah Digital, BCA, EDB dan rakan-rakan industri seperti Persatuan Kontraktor Singapura.

Token-token itu dibangunkan khas untuk sekitaran dormitori dan tapak kerja - padat, kalis air dan boleh digunakan pada bila-bila masa, menurut pihak berkuasa berkenaan.

"Ia akan berfungsi bersama dan melengkapi penggunaan aplikasi TraceTogether pada telefon bijak pekerja asing, memandangkan sebilangan pekerja mungkin tidak membawa telefon bimbit mereka pada setiap masa ketika bekerja dan di dormitori," katanya.

Alat itu boleh dipakai pada pergelangan pekerja seperti jam supaya tidak menghalang mereka dari semasa bekerja.

Token BluePass juga akan mendapatkan data kontak-kontak rapat yang akan dihantar kepada kementerian kesihatan apabila kes positif COVID-19 dikesan.

Token itu hanya mengumpul data dari kontak-kontak dekat dari alat-alat yang lain, dan data itu tidak mengandungi sebarang maklumat peribadi yang boleh dikenal pasti disimpan di dalamnya, menurut pihak berkuasa.

Kumpulan ACE dan agensi-agensi akan menjalankan percubaan dan menilai bagaimana token itu berfungsi dan beroperasi dalam sekitaran kerja, serta bagaimana data yang diperolehi daripada token-token itu dapat membantu memperbaiki usaha menjejak kontak dan proses kuarantin apabila kes baru COVID-19 dikesan.

Data daripada token itu juga boleh digunakan untuk menilai sejauh mana pergaulan dalam kalangan pekerja, yang akan bantu majikan dan pekerja lebih memahami langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil bagi mengurangkan pergaulan dan potensi berlaku penularan COVID-19.

BLUEPASS AKAN DIAGIHKAN DI DORMITORI DAN PUSAT PEMERIKSAAN

Majikan dalam sektor binaan, limbungan marin dan pemprosesan atau mereka yang mempunyai pekerja yang tinggal di dormitori tidak perlu membuat sebarang bayaran bagi alat-alat itu dalam tahun pertama, menurut pihak berkuasa.

MOM sedang menilai kos menggunakan alat itu pada masa depan.

Alat-alat itu akan diagihkan dengan bantuan Pasukan Sokongan dan Jaminan (FAST) kepada pekerja asing yang tinggal di dormitori dibina khas. Mereka yang tinggal di jenis kemudahan yang lain akan diberikan alat itu di pusat pemeriksaan daerah bagi ujian rutin berjadual.

Tempat pengambilan sendiri turut akan disediakan bagi pekerja yang tinggal di tempat penginapan sementara dan tempat tinggal yang lain. Majikan dan pekerja akan dimaklumkan tentang tarikh pengambilan token itu, menurut pihak berkuasa.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan