Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 40% pekerja S'pura berhenti kerja kerana kurang latihan kemahiran

Lebih dua daripada lima pekerja Singapura meninggalkan majikan mereka kerana merasakan syarikat mereka tidak menyediakan peluang pembelajaran dan pembangunan (L&D) yang mencukupi. Ini kerana para pekerja tidak mempunyai cukup masa untuk memanfaatkan peluang-peluang sedemikian.

Anggaran Waktu Membaca:
Lebih 40% pekerja S'pura berhenti kerja kerana kurang latihan kemahiran

Para pekerja di Raffles Place. (Gambar: Roslan Rahman/AFP)

Diterbitkan : 19 Jun 2019 01:54PM Dikemas Kini : 19 Jun 2019 02:02PM


SINGAPURA: Lebih dua daripada lima pekerja Singapura meninggalkan majikan mereka kerana merasakan syarikat mereka tidak menyediakan peluang pembelajaran dan pembangunan (L&D) yang mencukupi. Ini kerana para pekerja tidak mempunyai cukup masa untuk memanfaatkan peluang-peluang sedemikian.

Terdapat juga jurang yang ketara antara peluang latihan yang ditawarkan oleh para majikan dengan apa yang diinginkan oleh para pekerja. Hanya 17 peratus daripada kesemua pekerja di Singapura yang berpuas hati dengan program-program L&D yang ditawarkan syarikat mereka.

Demikian menurut laporan hasil tinjauan yang diterbitkan di laman rangkaian pekerjaan LinkedIn pada Rabu (19 Jun).

Tinjauan itu melibatkan para responden dari rantau Asia Pasifik, khususnya Australia, India, Jepun dan Singapura.

Tinjauan itu melibatkan 1,000 pekerja di Singapura dan lebih 200 karyawan L&D, iaitu para kakitangan syarikat yang melakar strategi-strategi L&D, seperti para pekerja di jabatan sumber manusia.

Hasil tinjauan itu didedahkan selepas bertahun-tahun Pemerintah Singapura menggalak para pekerja supaya menajamkan kemahiran atau menjalani latihan semula dan mendorong para majikan supaya menawarkan kursus-kursus sedemikian.

Pelancaran inisiatif SkillsFuture, penubuhan sistem Pentauliahan Kelayakan Kemahiran Tenaga Kerja (WSQ) dan Program Penukaran Profesional (PCP) oleh Agensi Tenaga Kerja Singapura (WSG) merupakan sebahagian daripada usaha-usaha bagi mendorong syarikat-syarikat dan pekerja-pekerja untuk meningkatkan kemahiran tenaga kerja.

HAMBATAN KEPADA PEMBELAJARAN

Hasil tinjauan itu turut mendapati bahawa cabaran utama yang menghambat usaha para pekerja Singapura untuk menjalani latihan adalah kesuntukan masa.

Seramai 57 peratus responden dari Singapura berkata mereka tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk menjalani latihan L&D.

- Singapura (57 peratus)

- Australia (60 peratus)

- India (60 peratus)

- Jepun (53 peratus)

Faktor-faktor lain yang menghambat usaha pekerja Singapura untuk menjalani latihan L&D termasuk: akses (45 peratus), kos (37 peratus), kekangan sumber (31 peratus) dan kekurangan minat (30 peratus).

Bagi pihak syarikat pula, cabaran utama yang dihadapi 48 peratus daripada majikan di Singapura yang ditinjau adalah kesukaran untuk mendampingi para pekerja mereka supaya menyertai latihan L&D.

- Singapura (48 peratus)

- Australia (39 peratus)

- India (46 peratus)

- Jepun (30 peratus)

Cabaran lain yang dihadapi para majikan termasuk: menyesuaikan latihan untuk pekerja lebih muda (41 peratus), meningkatkan keberkesanan latihan (38 peratus) dan membuktikan nilai latihan L&D kepada pihak atasan syarikat (33 peratus).

Tinjauan itu turut mendapati ekonomi-ekonomi Asia Pasifik akan menghadapi kekurangan 12.3 juta pekerja menjelang 2020 yang menyumbang kepada kerugian AS$4.2 trilion (S$5.75 trilion).

Kekurangan tenaga kerja itu mungkin diburukkan lagi sedang lebih ramai pekerja rantau ini berhijrah ke negara-negara lain berbanding jumlah pekerja di negara-negara lain yang berpindah ke rantau ini.

Laporan LinkedIn pada 2017 mengenai tenaga kerja digital mendedahkan, dalam kalangan pekerja dari rantau ini yang berhijrah, kebanyakan daripada mereka berpindah ke Amerika Syarikat.

Sumber : Today/ZM/zm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan