Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lebih 4,300 flat baru HDB dilancarkan bagi penjualan pertama 2018

Penjualan bagi sebanyak 4,831 flat baru dilancarkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bagi penjualan pertama tahun ini.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Feb 2018 11:43AM Dikemas Kini : 06 Feb 2018 11:47PM

SINGAPURA: Penjualan bagi sebanyak 4,831 flat baru dilancarkan oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) bagi penjualan pertama tahun ini.

Flat-flat tersebut termasuk 3,664 unit flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO) dan 717 lagi unit di bawah Penjualan Flat Baki (ROF), menurut HDB dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini (6 Feb).

Flat-flat BTO itu merangkumi dua projek di Chua Chu Kang dan Woodlands, sementara tiga lagi projek adalah di Geylang dan Tampines.

Permohonan boleh dibuat secara online di laman HDB hingga Isnin depan (12 Feb).

Pembeli kali pertama yang layak boleh menikmati geran sehingga S$80,000 yang terdiri daripada Geran Perumahan CPF Tambahan sehingga S$40,000 dan begitu juga Geran Perumahan CPF Khas yang turut menawarkan S$40,000.

"Dengan geran-geran ini, para pembeli flat fleksi dua bilik, flat tiga bilik, empat bilik dan lima bilik masing-masing hanya perlu membuat bayaran serendah S$4,000, S$65,000, S$165,000 dan S$274,000," menurut HDB.

Menurut HDB lagi, pembeli kali pertama akan terus diberi keutamaan bagi peruntukan flat. HDB turut menekankan bahawa flat-flat BTO yang ditawarkan kali ini akan dilengkapi dengan konsep dapur terbuka jika reka bentuknya mengizinkan.

Sebagai sebahagian daripada penjualan kali ini, HDB juga menawarkan 717 flat yang tidak dipilih daripada Penjualan Flat Baki pada Mei 2017 dan ROF pada Ogos 2017. Ia terdiri daripada 50 unit fleksi dua bilik, 217 unit tiga bilik, 109 unit empat bilik, 331 unit lima bilik, tiga unit 3Gen dan tujuh unit flat eksekutif di pelbagai estet.

HDB menyatakan bahawa ia akan memperuntukkan 95 peratus daripada bekalan itu untuk pembeli kali pertama dan sehingga 5 peratus bagi pembeli kali kedua. Warga emas juga boleh membuat permohonan sekiranya mereka memenuhi syarat-syarat kelayakan yang sedia ada untuk membeli flat fleksi dua bilik meskipun keluarga akan diberi keutamaan semasa memilih flat.

Sekitar 80 peratus flat ROF, yang pelbagai jenis dan bentuk, lokasi dan harga jualan sudah siap dibina, dengan bakinya masih dibangunkan.

HDB seterusnya merancang untuk melancarkan 17,000 flat BTO tahun ini.

Sumber : CNA/SM/sm
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan