Images
  • punggol cove point
    Punggol Point Cove (Gambar: HDB)

Lebih 4,000 flat baru dilancarkan; dengan tawaran geran lebih besar dan had pendapatan lebih tinggi

SINGAPURA: Sebanyak 4,089 flat baru dilancarkan pada Rabu (11 Sep) dalam penjualan pertama di mana para pembeli boleh meraih manfaat daripada geran perumahan yang dipertingkat dan had pendapatan lebih tinggi.

Sejumlah 3,373 flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO) dilancarkan di Punggol dan Tampines, menurut kenyataan media oleh Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB). Sementara itu, 716 flat baki daripada penjualan sebelumnya dilancarkan di bawah Skim Tawaran Semula Flat Baki (ROF).

Menteri Pembangunan Negara Lawrence Wong mengumumkan pada Selasa (10 Sep) bahawa had pendapatan untuk membeli flat baru akan dinaikkan dari S$12,000 kepada S$14,000. Bagi golongan bujang berusia 35 tahun dan ke atas, had pendapatan terbaru adalah S$7,000 - naik daripada S$6,000.

Ia juga akan menjadi lebih mudah bagi para pembeli kali pertama untuk layak menerima geran perumahan. Bahkan, golongan itu juga akan mendapat lebih banyak kelonggaran untuk memilih saiz dan lokasi flat mereka.

Flat-flat BTO yang ditawarkan kali ini merangkumi projek-projek Punggol Point Cove, Punggol Point Crown dan Tampines GreenGlen.

Pembeli boleh memilih daripada flat Flexi 2-bilik hingga 5-bilik. Harga-harga bagi projek di Punggol bernilai antara S$109,000 hingga S$423,000. Projek BTO di Tampines pula berharga dari S$312,000 hingga S$418,000.

HDB menyatakan harga bagi flat-flat baru itu "adalah lebih rendah" berbanding flat-flat jualan semula yang setanding di kawasan sama.

Bagi flat-flat ROF, terdapat 268 flat Flexi 2-bilik, 202 flat 3-bilik, 90 flat 4-bilik, 49 flat 5-bilik, 104 flat 3Gen dan 3 flat eksekutif di pelbagai estet termasuk Ang Mo Kio, Bukit Merah, Clementi, Tampines serta Toa Payoh.

Sekitar 12 peratus daripada flat-flat berkenaan sudahpun siap manakala yang bakinya masih dalam fasa pembinaan.

Menurut HDB, sekurang-kurangnya 95 peratus flat ROF akan diperuntukkan bagi keluarga pembeli kali pertama.

"Warga tua boleh memohon sekiranya mereka memenuhi syarat-syarat kelayakan untuk membeli flat 2-bilik dengan tempoh pajakan pendek. Mereka akan disenaraipendekkan selepas keluarga-keluarga bagi tempahan flat," tambahnya.

Permohonan bagi lfat-flat BTO dan ROF boleh dibuat secara online di laman web HDB mulai hari ini sehingga 17 September. HDB kemudian akan menyenaraipendekkan pemohon menggunakan kaedah undian komputer.

Sekitar 4,500 flat BTo di Ang Mo Kio, Tampines dan Tengah akan dilancarkan bagi penjualan pada November nanti. Pada Februari tahun depan pula, 3,000 flat BTO di Sembawang dan Toa Payoh bakal dilancarkan.  

- CNA/FZ/fz

Top